Usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, boleh hantar bila-bila masa - Johari - Utusan Malaysia

Usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, boleh hantar bila-bila masa – Johari

JOHARI Abdul (kanan) beramah mesra dengan pengetua dari beberapa sekolah yang hadir pada 'Majlis Pelancaran Akademi Menara Gading' di Universiti Malaysia Pahang Sultan Abdullah (UMPSA) di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Mana-mana Ahli Parlimen termasuk pembangkang boleh menghantar notis rasmi berhubung usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada bila-bila masa sahaja.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, tiada tempoh tertentu untuk menghantar notis itu namun menjadi kuasanya untuk melihat sama ada usul berkenaan wajar atau tidak.

Katanya, untuk memungkinkan sesuatu usul undi tidak percaya terjadi, perlu menghantar notis terlebih dahulu dahulu kepadanya.

“Mesyuarat ketiga Parlimen untuk penggal ini akan bermula pada 14 Oktober ini dan berakhir 12 Disember. Saya tidak nampak lagi percubaan untuk menghantar usul undi tidak percaya itu sama ada melalui panggilan telefon, email ataupun surat.

“Hari ini sudah 2 Oktober, saya tidak dapat apa-apa usul. Usul boleh hantar bila-bila. Terpulang kepada speakerlah. Speaker nak tengok sama ada wajar atau tidak wajar.

“Saya belum tengok lagi dan saya tidak mahu menganggap mereka akan hantar atau tidak hantar. Kalau sekarang, tidak ada,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Akademi Menara Gading 2.0 YASA-Next Generation Accelerator Programme (AMG Next-Gen) di Dewan Astaka, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di sini hari ini.

Terdahulu, Anwar ketika berucap pada Himpunan Keadilan: Suara Rakyat Suara Keramat, Dari Reformasi ke Malaysia Madani di Stadium Axiata, Bukit Jalil, Jumaat lalu, mencabar pihak pembangkang untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap beliau pada Sidang Dewan Rakyat yang akan berlangsung bulan ini.

Cabaran tersebut dibuat oleh Anwar selepas beberapa perwakilan dan pimpinan Pas menuntut beliau meletakkan jawatan semasa Muktamar Tahunan ke-70 parti itu di Temerloh, baru-baru ini.

Kata Johari lagi, sesuatu yang tidak adil buat rakyat sekiranya seorang Ahli Parlimen tidak bercakap tentang pembangunan negara sebaliknya hanya bercakap tentang diri, kumpulan dan parti semata-mata ketika di dalam sidang Dewan Rakyat.

“Saya tidak kata mereka tidak boleh cakap, tapi janganlah sehingga mendominasi isu yang substantif seperti pandangan bagaimana membangunkan negara, membangunkan kawasan mereka dan idea-idea baharu yang boleh ditonjolkan.

“Kalau asyik bercakap pasal politik sahaja, kita tidak akan ke mana-mana. Tidak kiralah pembangkang atau kerajaan. Disebabkan itu, sebelum masuk kena belajar dahulu. Baca semua dokumen.. dapatkan maklumat berkaitan daripada pegawai-pegawai masing-masing. Janganlah asyik membantah sahaja,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya