SEREMBAN: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan menyemak semula syarat kemasukan pelajar Orang Asli ke universiti berkenaan.
Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, proses tersebut bagi memberi peluang lebih ramai pelajar Orang Asli melanjutkan pelajaran di universiti berkenaan.
“Sememangnya kita ada terima permohonan pelajar Orang Asli ke USIM, tetapi kita tidak dapat tawarkan mereka ke sini kerana syarat utamanya adalah ada Bahasa Arab dan Pengajian Islam.
“Jadi untuk cari kombinasi itu agak sukar. Kita akan semak dan melihat semula syarat kemasukan pelajar Orang Asli supaya lebih ramai yang dapat belajar di sini,” katanya pada sidang akhbar Pendaftaran Pelajar Baharu Ijazah Sarjana Muda Sesi 2024/2025 di USIM di sini hari ini.
Sharifudin berkata, pada sesi pendaftaran kali ini USIM menerima kemasukan pelajar Orang Asli pertama yang menyambung pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian iaitu Nurul Atiqah Ithnani Idrus, 19.
Menurutnya, pelajar yang menetap di Felda Tersang, Pahang itu sebelum ini berjaya menamatkan pengajian di peringkat Tamhidi Perubatan, Pergigian dan Sains Asasi USIM.
“Nurul Atiqah merupakan pelajar pertama berlatar belakang Orang Asli di USIM dan dia merupakan pelajar cemerlang di Pahang dari kategori Orang Asli apabila memperoleh 10 A.
“Hebatnya anak ini kerana dia juga seorang Hafizah dan dia bercita-cita menjadi seorang doktor gigi dengan niat membantu komunitnya,” katanya.
Sementara itu, katanya, seramai 2,718 pelajar telah ditawarkan tempat untuk mengikuti program pengajian Ijazah Sarjana Muda di USIM bagi sesi kali ini.
Jelas beliau, seramai 378 pelajar yang mendaftar adalah daripada kategori Diploma Universiti Awam (UA), Politeknik serta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) tempatan dan luar negara.
“Fakulti yang menerima jumlah pelajar tertinggi adalah Fakulti Pengajian Bahasa Utama dengan 377 pelajar, Fakulti Ekonomi dan Muamalat seramai 372 pelajar dan Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) seramai 366 pelajar.
“USIM juga menerima pelajar antarabangsa seramai 61 orang yang mana ini merupakan satu langkah signifikan dalam memperkukuh peranan USIM sebagai sebuah universiti bertaraf antarabangsa,” katanya.
Tambahnya, sebanyak 31 peratus atau 723 calon pelajar daripada jumlah yang ditawarkan tergolong dalam golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) atau keluarga kurang berkemampuan.-UTUSAN.