Unjam bantu tingkatkan hasil tangkapan ikan di Port Dickson - Utusan Malaysia

Unjam bantu tingkatkan hasil tangkapan ikan di Port Dickson

SEBANYAK 58 unit unjam dilabuhkan pada Program myUnjam 2024 Bersama Komuniti Nelayan Bagan Pinang di Pengkalan Nelayan Bagan Pinang, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Bagi meningkat jumlah tangkapan ikan, sebanyak 106 unjam telah dilabuhkan pihak Jabatan Perikanan Negeri Sembilan di perairan Port Dickson pada tahun ini.

Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Kasim Tawe berkata, langkah tersebut terbukti apabila unjam yang dilabuhkan pada bulan Jun lalu telah menyaksikan peningkatan ketara jumlah ikan yang berjaya ditangkap.

“Pada Jun lalu, 48 unjam telah dilabuhkan dan peningkatan yang ketara terhadap jumlah hasil pendaratan ikan di kawasan unjam kali pertama itu direkodkan pada bulan berkenaan oleh pemancing rekreasi yang mana kita anggarkan setiap satu unjam boleh menarik sekitar 100 kilogram ikan pada satu-satu masa.

“Ketika itu, pemancing rekreasi berjaya menaikkan ikan seperti ikan Sagai seberat tujuh kilogram, ikan Giant Travelly (GT) atau ikan Gerepoh bersaiz tiga hingga empat kilogram dan ikan Tenggiri bersaiz empat kilogram selepas beberapa jam memancing di kawasan unjam dilabuhkan.

“Kesemua ikan tersebut sukar untuk didaratkan di kawasan berkenaan sebelum ini,” katanya pada Program myUnjam 2024 Bersama Komuniti Nelayan Bagan Pinang di Pengkalan Nelayan Bagan Pinang di sini hari ini.

Menurut beliau, untuk tujuan itu sejumlah RM49,800 peruntukan pembangunan telah digunakan menerusi Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan bagi Perolehan Perkakasan dan Peralatan Peranti Pengumpulan Ikan (Unjam). 

“Pada hari ini sebanyak 58 unit unjam termasuk lima daripadanya sumbangan syarikat Hengyuan Refining Company Berhad (HRC) dilabuhkan selain sebanyak 5,000 benih ikan merah turut dilepaskan bagi meningkatkan sumber perikanan sedia ada,” katanya lagi.

Menurut Kasim, program melabuh unjam telah dilaksanakan sejak tahun 2020 dalam usaha memperkukuh aktiviti perikanan pantai. 

“Zon perikanan pantai bukan sahaja digunakan oleh nelayan pantai sedia ada malah turut menjadi tumpuan kepada nelayan separuh masa, peminat perikanan rekreasi, agropelancongan dan aktiviti penangkapan ikan secara kecil kecilan.

“Dengan jumlah hasil pendaratan ikan yang tinggi, sumber protein ini bukan sahaja dapat dijual secara segar malah rakyat di Port Dickson juga boleh meningkatkan pendapatan isi rumah dengan menghasilkan produk nilai tambah.

“Ia seperti ikan kering parang, sambal ikan talang, ikan pekasam, sambal gesek selain aktiviti pelancongan dan sukan rekreasi,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, daerah Port Dickson juga merupakan daerah yang menyumbang kepada pengeluaran utama perikanan di negeri ini.

“Hasil tangkapan ini juga menunjukkan spesies ikan demersal iaitu ikan yang habitatnya di dasar laut seperti ikan sembilang, kerapu, pari di dapati lebih banyak di perairan ini berbanding spesies spesies ikan pelagik seperti talang, tenggiri, senangin dan alu-alu,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya