UMPSA kekal universiti teknikal nombor satu terbaik negara - Utusan Malaysia

UMPSA kekal universiti teknikal nombor satu terbaik negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) kekal universiti teknikal terbaik negara apabila berada di kedudukan pertama dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) buat tiga tahun berturut-turut.

Pengumuman Times Higher Education (THE) World University Rankings 2025 pada 9 Oktober lalu yang menyenaraikan UMPSA di tangga 601-800 terbaik dunia turut menyaksikan universiti berkenaan di kedudukan kelapan terbaik dalam kalangan institusi awam dan swasta di negara ini.

Bagi universiti awam, UMPSA berada di tangga keenam selepas Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

UMPSA adalah sebuah universiti awam ke-16 ditubuhkan kerajaan dalam menawarkan program pendidikan tinggi berteraskan kejuruteraan dan teknologi serta penyedia program TVET termaju (aras tinggi) negara.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, kejayaan ini mengukuhkan lagi kedudukan UMPSA sebaris universiti bertaraf dunia dan menghasilkan penyelidikan, inovasi berkualiti serta berimpak di peringkat global.

“Peningkatan UMPSA dalam indikator pengajaran turut mencerminkan kualiti akademik universiti ini diiktiraf di peringkat antarabangsa. Selain itu, impak penerbitan yang menjadi rujukan dalam kalangan ahli akademik terutamanya dalam bidang sains dan teknologi.

“Ini dibuktikan apabila seramai 20 penyelidik UMPSA tersenarai sebagai World’s Top 2% Scientist bagi kategori Career-Long Achievement dan kategori Single Year Achievement berdasarkan Elsevier Database, Stanford University baru-baru ini,” katanya.

THE World University Rankings adalah sistem penarafan peringkat global yang menilai prestasi Universiti di seluruh dunia merangkumi pengajaran (29.5 peratus), persekitaran penyelidikan, (29 peratus), kualiti penyelidikan (30 peratus), perspektif antarabangsa (7.5 peratus) dan hubungan dengan industri (empat peratus). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN