PH jangan usik BN, BN jangan usik PH - Mohd. Sharkar - Utusan Malaysia

PH jangan usik BN, BN jangan usik PH – Mohd. Sharkar

MOHD. SHARKAR Shamsudin (kiri) bersama Ahmad Zahid Hamidi (kanan).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Bukan sahaja UMNO malah ahli-ahli dan pimpinan Pakatan Harapan (PH) juga tidak boleh mengusik Barisan Nasional (BN) sebagai rakan gabungan dalam kerajaan Perpaduan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, dua parti politik terbabit perlu terus memelihara hubungan yang terjalin demi menjaga kerjasama baik dalam kerajaan Pusat pada ketika ini.

“Saya menyokong kenyataan Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang memberi peringatan kepada seluruh pimpinan dan ahli parti ini agar tidak mengusik rakan-rakan di dalam komponen parti kerajaan Perpaduan.

“Bukan sahaja ahli dan pimpinan UMNO jangan usik PH, ahli dan pimpinan PH pun tidak boleh usik BN. Sifirnya mudah, janganlah mengusik jika takut diusik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid memberi peringatan kepada seluruh pimpinan dan ahli UMNO agar tidak mengusik rakan-rakan dalam komponen parti Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Perdana Menteri itu dilaporkan sebagai berkata, seruan itu juga bagi mengekalkan keadaan dan situasi perpaduan dalam kerajaan pada ketika ini.

Presiden UMNO itu berkata, apa sahaja kenyataan yang dikeluarkan oleh pimpinan parti juga adalah bersifat peribadi dan mereka tidak perlu memohon maaf.

Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, sejak 1963, negara dibina berasaskan nilai toleransi, keharmonian dan kesepakatan.

“Kepelbagaian adalah kekuatan kita dan perpaduan yang terjalin antara rakyat sejak 1963, negara dibina berasaskan nilai toleransi, keharmonian dan kesepakatan.

“Rakyat terutama pimpinan parti politik dalam kerajaan Perpaduan ini perlu bersama-sama menghadapi segala cabaran dan memastikan Malaysia kekal aman dan dihormati di persada dunia,” katanya.

Untuk rekod, Yang di-Pertuan Agong terdahulu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan kerajaan Perpaduan dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu selepas tiada satu pun parti politik berjaya mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

18 parti dalam kerajaan Perpaduan terdiri daripada lima gabungan politik iaitu PH, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN