KUALA KRAI: Seekor ular sawa ditemukan dalam keadaan kekenyangan di dalam kandang selepas berselera membaham seekor ibu dan dua anak kambing dalam kejadian di Kampung Ngangoh di sini hari ini.
Ular sawa jantan sepanjang 7.1 meter dan seberat 240 kilogram (kg) ditemukan pemilik kambing Kamariah Mohd. Kassim, 60, semasa mahu memasukan haiwan tersebut yang terlepas ke kembali semula ke dalam kandang.
Kamariah berkata, sejurus melihat kehadiran replitia ‘gergasi’ itu dia terus bertindak menghubungi Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Guchil untuk mendapatkan bantuan.
“Saya mempunyai 15 ekor kambing semuanya, namun selepas melakukan pemeriksaan ke dalam kandang saya mendapati seekor ibu dan dua anak yang berusia empat hari telah hilang.
“Kali terakhir saya melihat tiga ekor kambing itu semalam. Namun, semasa mencari, saya terkejut mendapati seekor ular sawa kekenyangan di dalam kandang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kamariah memberitahu, sebelum ini reptilia itu telah membaham angsa dan ayam yang dipeliharanya.
Sementara itu, Pegawai Bomba Sukarela Mohd. Hamdan Mahadi berkata, sejurus memberima panggilan kecemasan dia bersama dua lagi anggota terus bergegas ke lokasi.
Katanya, sejurus tiba dia mendapati ular tersebut berada dalam keadaan kekenyangan.
“Dengan bantuan penduduk kampung, kami mengambil masa selama tiga minit untuk menangkap ular sawa terbabit. Ular ini kita akan serahkan kepada pihak yang berkenaan untuk tindakan lanjut,” ujarnya.-UTUSAN