UDA-Bank Islam kerjasama perkasa pembangunan hartanah

UDA-Bank Islam kerjasama perkasa pembangunan hartanah

NOR Azmi Salleh (dua dari kiri) bersalaman dengan Zamree Mohamed pada Majlis Menandatangani MoU antara UDA dan Bank Islam di Crescent Dew Clubhouse, Kepala Batas, Pulau Pinang. – UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Dalam usaha untuk terus memperkasa pembangunan hartanah serta mempergiat inisiatif kelestarian alam sekitar, UDA Holdings Berhad (UDA) mengorak langkah baharu apabila memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) bersama Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam), baru-baru ini.

Menerusi jalinan kerjasama itu, Bank Islam akan menyediakan pembiayaan komprehensif merangkumi perumahan dan komersial, pembelian panel solar dan pengecas dinding kenderaan elektrik (EV) atau penyelesaian tenaga boleh diperbaharui lain yang berkaitan selain membiayai kos pengubahsuaian serta pembelian perabot dan kelengkapan.

Menurut Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Mohd. Salem Kailany, kolaborasi strategik antara UDA dan Bank Islam itu selari dengan matlamat kelestarian UDA iaitu memperkasa gaya hidup lestari dengan menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui yang lebih mesra alam.

Beliau berkata, inisiatif itu turut menterjemahkan komitmen UDA dalam mengimbangi aktiviti pembangunan dengan kemampanan alam sekitar serta menyokong aspirasi kerajaan menuju ke arah kelestarian negara menjelang 2050.

“Melalui usaha sama ini, UDA berpeluang meluaskan pemasaran rangkaian produk hartanah kediaman dan dalam masa yang sama, memperkenalkan pakej pembiayaan perumahan serta pembiayaan tambahan Bank Islam kepada bakal pembeli.

“Semoga persefahaman yang dimeterai ini memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak dan merancakkan sektor pembangunan hartanah yang dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara seterusnya menuju ke arah pemerkasaan Ekonomi Madani,” katanya pada Majlis Menandatangani MoU antara UDA dan Bank Islam di Crescent Dew Clubhouse di sini.

Pada majlis itu, UDA diwakili oleh Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Hartanah Kumpulan UDA Holdings Berhad, Noor Azmi Salleh manakala Bank Islam pula diwakili Pengarah Perbankan Runcit dan Pengagihan bank tersebut, Zamree Mohamed.

Dalam perkembangan berkaitan, Noor Azmi berkata, jalinan kerjasama UDA dan Bank Islam itu dapat memenuhi tiga daripada sembilan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang sedang dilaksanakan oleh UDA iaitu Matlamat Tenaga Berpatutan dan Bersih, Matlamat Komuniti & Bandar Mampan selain Matlamat Tindakan & Perubahan Iklim yang diiktiraf secara global.

Jelasnya, usaha tersebut juga bertepatan dengan penjenamaan UDA iaitu LIFE yang merujuk kepada akronim bagi ‘Legasi’, ‘Integrasi’, ‘Ketelitian’ dan ‘Memperkasa’ yang diterapkan dalam setiap rangkaian perniagaan bagi meneruskan legasi UDA dengan menumpukan kepada pembangunan mampan serta kelestarian alam sekitar.

“Justeru, saya berharap agar MoU yang dimeterai antara UDA dengan Bank Islam ini dapat memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak serta komuniti di wilayah pembangunan dan perniagaan UDA di seluruh negara secara menyeluruh,” kata beliau.

Sementara itu, Zamree memberitahu, pemeteraian memorandum itu membuktikan komitmen teguh Bank Islam dalam memberi nilai terbaik buat pelanggan, mengukuhkan kerjasama strategik serta memperluaskan akses kepada perumahan mampu milik.

“Saya melihat kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada Bank Islam, malah, ia turut membuka peluang kepada pelanggan kami untuk mengakses penyelesaian kewangan inovatif yang patuh syariah.

“Oleh itu, kami percaya bahawa melalui kerjasama ini, pelanggan Bank Islam dapat menerima perkhidmatan dan bantuan yang lebih baik untuk mencapai matlamat kewangan mereka,” kata Zamree. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN