Tujuh ditahan pukul, sepak seorang lelaki di tepi jalan - Utusan Malaysia

Tujuh ditahan pukul, sepak seorang lelaki di tepi jalan

TANGKAP layar seorang lelaki dipukul oleh sekumpulan lelaki berhampiran sebuah stesen minyak di LTAS, Senai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Seramai tujuh lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian memukul seorang lelaki di tepi jalan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tan Seng Lee berkata, kesemua suspek berusia antara 25 hingga 40 tahun itu ditahan dalam serbuan di sekitar Skudai dan Johor Bahru, kira-kira 8 malam hingga 12.30 tengah malam tadi.

Siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada perselisihan faham disebabkan berebut tempat duduk di ruang pelepasan di Lapangan Terbang Miri, SarawaK, namun kejadian pukul itu berlaku di hadapan sebuah stesen minyak berhampiran LTAS kira-kira pukul 1.30 petang semalam.,

“Kita menerima laporan polis dibuat mangsa, iaitu seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun selepas kejadian itu. Mangsa turut mengalami cedera ringan, luka, calar dan bengkak.

“Mangsa dan suspek yang saling tidak mengenali mula berselisih faham kerana tegur-menegur antara satu sama lain ketika di Lapangan Terbang Miri, Sarawak,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Seng Lee berkata, tangkapan dibuat selepas mengesan video tular dalam laman sosial Facebook ‘This Is Johor’, yang memaparkan sekumpulan lelaki memukul seorang mangsa di tepi jalan.

Pihak polis turut merampas dua kenderaan, iaitu Honda Accord dan Mazda 6 berserta alat kawalan jauh, empat telefon bimbit dan dua batang kayu.

Hasil semakan mendapati empat daripada suspek mempunyai pelbagai rekod  jenayah lampau dan dadah.

“Semua suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini. Polis masih mengesan seorang lagi suspek berusia 40-an,” katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi 17 saat memaparkan lapan lelaki menyepak dan memukul seorang lelaki menggunakan batang dipercayai kayu di tepi jalan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya