LIPIS: Sebuah treler dengan muatan minyak sawit terbabas masuk ke dalam anak sungai Lubok Gayong di Kilometer 2, Jalan Benta-Jerantut, Benta di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, dalam kejadian pada pukul 9 pagi itu, treler muatan minyak sawit seberat 42 tan dipandu oleh mangsa dari Kilang Sawit di Felcra Jaya Putra, Kampung Damak, Jerantut dalam perjalanan ke Semenyih, Selangor.
“Setiba di tempat kejadian, treler tersebut hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar sebatang tiang elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum tangki muatan sawit tergolek ke dalam anak Sungai Lubok Gayong.
“Akibat kemalangan tersebut, pemandu treler berusia 36 tahun dari Felda Jengka 11, Jerantut mengalami kecederaan sakit di bahagian belakang badan dan dihantar ke Klinik Kesihatan Benta untuk rawatan lanjut,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini hari ini.
Menurut Ismail, kejadian disiasat di bawah kaedah 10 LN 166/59 (Kaedah-kaedah lalu lintas 1959).
Ujarnya, polis memohon jika terdapat individu yang melihat dan mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis (IPD) Lipis di nombor 093121999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.
Berikutan kejadian itu, video berdurasi sembilan saat yang tular mendapati minyak mengalir tumpah dari tangki lori dan mengalir ke anak sungai. – UTUSAN