Tok Janggut 13 liang, teater wajib tonton

Tok Janggut 13 liang, teater wajib tonton

BARISAN krew produksi teater Tok Janggut 13 Liang semasa sidang media di  Kota Bharu, Kelantan hari ini. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pementasan Karya Agung Teater Tok Janggut 13 Liang di Dewan Utama Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, di sini, pada 18 dan 19 Oktober ini boleh disifatkan sebagai persembahan wajib tonton buat rakyat di negeri serambi Mekah.

Pengarahnya, Jihan Meghaa Ismail berkata, hal ini keranan persembahan itu nanti bakal membawa sisi sedikit berbeza berbanding pementasan sebelum-sebelumnya.

“Semua pihak tahu cerita sebenar Tok Janggut yang pernah dipentaskan dalam beberapa veri berbeza termasuk ‘Iyakah Tok Janggut’ yang mempersoalkan benarkah jasad tokoh pejuang kemerdekaan itu telah digantung oleh penjajah British.

“Pementasan kali ini adalah berdasarkan karya agung Sasterawan Negara, S. Othman Kelantan dengan mengadaptasi novel ‘Perwira’ dan diadunkan dengan kisah benar perjuangan Tok Janggut yang diceritakan secara terperinci oleh cucu saudaranya dikenali sebagai Ramli.

“Malahan kita akan menonjolkan beberapa perkara yang belum pernah dipentaskan sebelum ini termasuk kronologi bagaimana Sarjan Che Wan mati dibunuh,” katanya kepada pemberita semasa sidang media Pementasan Karya Agung Teater Tok Janggut 13 Liang di sini hari ini.

Jihan Meghaa memberitahu, penceritaan kronologi berkenaan sangat penting supaya semua pihak terutama generasi baharu tidak menganggap Tok Janggut dengan sesuka hati membunuh Sarjan Che Wan sehingga disalah anggap sebagai pemberontak.

Katanya, menariknya pementasan teater ini menampilkan pelakon terkemuka tanah air iaitu Datuk Hilal Azman sebagai Tok Janggut dan Hasnul Rahmat sebagai Langham Carter, penasihat British kepada Sultan Muhammad II atau Long Senik Mulut Merah.

Sementara itu, penulis skrip teater itu, Noormaziah Yaacob, 56 atau Lamia Aimal berkata, beliau mengambil masa hampir dua minggu untuk membuat kajian kisah perjuangan Tok Janggut bagi memastikan sumber diperoleh adalah tepat dan benar.

“Memang ada cabaran menulis skrip ini kerana saya juga mahu menyedarkan generasi hari ini bahawa apa yang berlaku pada tahun 1915 lalu sebenarnya masih berlaku pada masa kini dan masyarakat terutama orang Melayu mesti bersama-sama menjaga tanah air, bangsa dan agama.

“Mereka harus disedarkan bahawa kemusnahan Melayu adalah disebabkan oleh tangan-tangan orang Melayu sendiri dan kita sepatutnya mengekalkan perpaduan serta tidak berpecah belah,” ujarnya.

Noormaziah turut yakin Pementasan Karya Agung Teater Tok Janggut 13 Liang akan mendapat sambutan ramai kerana ia dapat memberi pengajaran dan pedoman kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menjaga negara daripada ditindas serta dijajah bangsa asing.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya