Tingkat rondaan, pemantauan terhadap kilang hasilkan sisa buangan berjadual - Utusan Malaysia

Tingkat rondaan, pemantauan terhadap kilang hasilkan sisa buangan berjadual

LING TIAN SOON (tengah) menyampaikan Anugerah Gaia disaksikan oleh Badrul Hisham Kassim di Sutera Mall, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri akan meningkatkan rondaan dan pemantauan ke atas kilang-kilang yang menghasilkan sisa buangan berjadual.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, jawatankuasa itu disertai pelbagai agensi berkaitan termasuk, Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sejak kejadian pencemaran berlaku (di beberapa kawasan baru-baru ini) jawatankuasa berkenaan telah melakukan pemeriksaan ke atas 150 buah kilang di sekitar kawasan pencemaran.

“Pemantauan akan terus dijalankan termasuk syarikat kepada kilang yang menghadapi pertuduhan melakukan pencemaran pada bulan lalu,” katanya ditemui selepas menyampaikan Anugerah ‘Green Accord Initiative Award’ Iskandar Malaysia 2023/2024 anjuran Pihak Betkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) di Sutera Mall, Taman Sutera yang turut dihadiri Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Dr. Badrul Hisham Kassim, di sini hari ini.

Bulan lalu, media melaporkan lima lelaki termasuk seorang warga Singapura yang juga pengarah syarikat kilang terbabit mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan sabotaj, iaitu menyebabkan mudarat terhadap pemeliharaan perkhidmatan air di Bandar Tenggara, Kota Tinggi.

Kejadian itu menyebabkan 38 penduduk Kampung Orang Asli Pasir Intan terpaksa dipindahkan ke kampung berhampiran selepas mengalami sesak nafas dan pening akibat pencemaran di Sungai Linggiu, berhampiran kampung itu.

Tian Soon berkata, kerajaan negeri tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap kilang yang disyaki melakukan pencemaran di sekitar Johor Bahru dan Kota Tinggi, bulan lalu. 

Namun setakat ini, katanya,  tiada tindakan diambil memandangkan pertuduhan terhadap lima individu terlibat sedang berjalan di mahkamah dan kilang yang terletak di Seri Alam itu masih beroperasi seperti biasa, namun pemantauan diteruskan oleh pihak berkuasa bagi memastikan premis berkenaan tidak melakukan  tindakan yang sama.

“Lima individu yang disyaki terlibat pencemaran itu telah dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, bulan lalu dan mereka mengaku tidak bersalah. Oleh itu, kita perlu tunggu perbicaraan selesai dan sekiranya mereka didapati bersalah, barulah kita ambil tindakan seterusnya mengikut lunas undang-undang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya