Tiket penerbangan ke Sabah, Sarawak mahal, cadang kerajaan perkenal tiket rahmah - Utusan Malaysia

Tiket penerbangan ke Sabah, Sarawak mahal, cadang kerajaan perkenal tiket rahmah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Wakil Rakyat dari Sarawak mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan inisiatif penjualan tiket harga rahmah seperti barang keperluan asas bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak.

Menurut Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo), harga penerbangan melibatkan laluan ke Malaysia Timur terlalu mahal, sekali gus kesannya dikatakan turut dirasai wakil rakyat.

“Barangan makan ada jualan rahmah kenapa tak ada jualan tiket kapal terbang rahmah dari kerajaan Madani ini, adakah menteri yang jaga pengangkutan dan kerajaan Malaysia Madani bersekongkol dengan taikun kapal terbang untuk mencekik rakyat seperti kita?,” katanya ketika mencelah perbahasan Belanjawan 2025 Ahli Parlimen Sri Aman, Doris Sophia Brodie di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Dorris kemudiannya bersetuju dengan cadangan Willie sambil menyifatkan harga tiket penerbangan domestik dari Sarawak dan Sabah mahal melampau selain sering mengalami gangguan penundaan waktu berlepas.

“Sistem penerbangan dalam negara kita semakin teruk, tambang amat mahal, dan penyakit delay yang melarat tidak berubah, kalau pesawat Malaysia Airlines, kelas ekonominya dari Kuching ke Kuala Lumpur sehala boleh mencecah lebih RM1,000 dan kelas perniagaan pula lebih RM2,000 sehala, apatah lagi bila musim perayaan, hujung minggu serta bila tempahan dibuat saat akhir.

“Selain itu kekerapan penerbangan juga dikurangkan maka menyebabkan pesawat sering penuh, Air Asia juga sama tambang penerbangan mahal, penyakit delay juga terlampau kerap berlaku, sekarang perkataan delay tak diguna..ganti istilah retime.

“Apa bezanya delay dengan retime? saya kurang pasti, yang pasti penerbangan ini lambat kadang-kadang sehingga lima jam,” katanya.

September lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan Jemaah Menteri bersetuju meneruskan dua inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan.

Beliau berkata, dua inisiatif itu ialah bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk pelajar institut pengajian tinggi bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan (FLYsiswa) diteruskan; dan mengekalkan harga siling tiket penerbangan RM599 di antara Semenanjung dan Sabah dan Sarawak pada musim perayaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya