Tiga beranak pengikut ajaran Ahmadi Religion ditahan - Utusan Malaysia

Tiga beranak pengikut ajaran Ahmadi Religion ditahan

AHMAD Zaki Hamzah (tengah) menunjukkan sebahagian dokumen yang dirampas yang disyaki mempunyai kaitan dengan ajaran Ahmadi Religion hasil serbuan di sebuah rumah di Ampangan, Seremban petang tadi yang turut berjaya menahan tiga beranak warga tempatan yang disyaki menjadi pengikut ajaran itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sepasang suami isteri bersama seorang anak perempuan mereka ditahan pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di sebuah rumah di Ampangan, di sini hari ini selepas disyaki menjadi pengikut kepada ajaran Ahmadi Religion.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, pasangan suami isteri itu masing-masing berusia lingkungan 60 tahun dan 50 tahun manakala anak mereka berusia lewat 20-an adalah merupakan warga tempatan dan ditahan pasukan penguatkuasan dalam serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 3 petang tadi.

Beliau berkata, dalam serbuan itu pihaknya turut merampas beberapa dokumen dan satu unit peranti tablet mempunyai kaitan dengan ajaran itu yang secara jelas bertentangan dengan hukum syarak.

“Antara ideologi pengikut ajaran ini adalah mereka menghebahkan kepada masyarakat bahawa Kaabah yang menjadi kiblat kepada umat Islam adalah sebenarnya berada Petra, Jordan.

“Mereka juga menyatakan bahawa al-Quran yang ada sekarang ini telah diubah dan diselewengkan oleh Saidina Umar dan menguar-uarkan bahawa syariat Nabi Muhammad SAW tidak lagi boleh dipegang kerana telah berubah masa dan keadaan.

“Mereka (pengikut) juga mendakwa bahawa berpuasa itu bukan pada bulan Ramadan sebaliknya pada bulan Disember. Oleh kerana mereka merasakan syariat Nabi Muhammad tidak lagi perlu diikuti mereka tidak lagi bersolat malah dalam siasatan kami juga menemukan bukti-bukti bahawa mereka (suspek) sudah lama tidak bersolat,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ahmad Zaki menambah pengikut-pengikut ini juga didapati menyebarkan perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum syarak.

Jelasnya malahan serbuan yang dilakukan hari ini juga adalah hasil maklumat awam yang diterima JHEAINS pada April lalu bahawa suspek cuba menyebarkan dan menghuraikan ajaran tersebut kepada sekelompok individu.

“Sebab itu kami buka kertas siasatan ini di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 Pindaan 2011 iaitu berkaitan perbuatan dan ajaran salah. Siasatan sedang dilakukan dan sekiranya kertas siasatan telah lengkap pihak pendakwaan akan buat pertuduhan di Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan di Sendayan, esok,” katanya.

Beliau dalam pada itu menambah, difahamkan tangkapan hari ini juga merupakan kes pertama melibatkan pengikut ajaran Ahmadi Religion di negara ini.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya