PONTIAN: Tiga beranak cedera parah dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 54.1, Jalan Johor Bahru-Batu Pahat di persimpangan masuk ke Kampung Seri Bunian, dekat sini petang semalam.
Mereka yang menaiki Perodua Axia kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HAS) Johor Bahru, termasuk seorang kanak-kanak perempuan yang terpaksa ditidurkan.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, dalam kejadian pukul 5.40 petang itu, kereta Perodua Axia yang dipandu seorang wanita berusia 39 tahun bersama-sama anaknya yang berumur sembilan tahun dan bapanya berusia 59 tahun berhenti untuk membelok ke Kampung Seri Bunian, tiba-tiba dirempuh oleh sebuah lori Hino yang hilang kawalan.
“Akibat rempuhan tersebut, Perodua Axia tersebut telah memasuki laluan bertentangan dan dilanggar oleh pacuan empat roda Mitsubishi Triton yang datang dari arah Pekan Nanas ke Pontian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Kemalangan itu juga menyebabkan lori Hino tersebut terjunam ke dalam parit sebelah kanan jalan.
“Kanak-kanak itu mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala, ibunya cedera pada rusuk kiri, patah kaki kiri, luka mulut, manakala bapanya juga patah kaki kiri dan luka-luka.
“Pemandu pacuan empat roda berusia 28 tahun mengalami kecederaan ringan pada bahagian bahu, dahi dan leher, manakala pemandu lori berumur 40 tahun mengalami luka pada belakang paha kanan,” katanya sambil memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Mohammad Shofee meminta pengguna jalan raya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. – UTUSAN