KOTA TINGGI: Dua pengurus dan seorang penjaga lembu di sebuah resort Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas enam pertuduhan melibatkan pemerdagangan manusia dan amang seksual fizikal.
Tertuduh, Muhammad Ansarullah Tukino, 20, Mahmad Hamal Tukiman, 57, dan Rabiahtul Adawiyah Mohd. Shash, 31, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim, Hayda Faridzal Abu Hasan.
Mahmad Hamal dan Rabiahtul Adawiyah berdepan empat pertuduhan bersama-sama tiga suspek yang masih bebas, iaitu Afizah Arifin, Mohamad Suhaimi Mohd. Sani dan Norafiratul Abidah Ismail didakwa memperdagangkan empat individu, tiga wanita dan seorang lelaki berusia antara 30 hingga 57 tahun bagi maksud eksploitasi kerja paksa dengan cara ancaman di Ikhwan Resort Kampung Air Bintan, Ladang Sungai Papan, Bandar Penawar, Pengerang, dekat sini antara Ogos 2023 hingga 1 Oktober lalu.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Khairuddin Khalid, manakala tertuduh diwakili peguam bela Fathul Anwar Muin.
Ahmad Khairuddin dalam hujahnya tidak menawarkan sebarang jaminan, namun mencadangkan jumlah RM50,000 bagi setiap tertuduh untuk setiap pertuduhan, sekiranya mahkamah ingin membenarkan ikat jamin dengan syarat tambahan, iaitu dengan dua penjamin, pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis setiap bulan dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi.
Walau bagaimanapun, Fathul Anwar memohon anak guamnya dibenarkan diikat jamin dengan jumlah yang rendah dengan alasan mereka mempunyai tanggungan.
“Mahmad Hamal mempunyai 11 orang anak dan masih menanggung sembilan daripadanya selain lapan orang cucu serta mempunyai dua isteri, dengan isteri kedua sedang hamil lima bulan dan kedua-duanya tidak bekerja. Rabiahtul Adawiyah pula mempunyai empat orang anak dan anak bongsu berusia dua tahun masih menyusu badan serta turut menanggung ibunya,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin keseluruhan RM40,000 dengan dua penjamin berserta semua syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 27 November depan.
Dalam pada itu, Muhammad Ansarullah dituduh atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dengan cara meraba paha dan kemaluan mangsa di Surau Ikhwan Resort, Kampung Air Bintan, Ladang Sungai Papan, Bandar Penawar, pukul 10 malam pada 1 dan 3 Jun lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat serta boleh diperintah menjalani kaunseling pemulihan, diletakkan di bawah pengawasan polis dan membayar pampasan, jika disabitkan kesalahan.
Ahmad Khairuddin turut tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh, namun mencadangkan jumlah RM40,000 bagi kedua-dua pertuduhan serta dua penjamin dengan tiga syarat tambahan, tetapi tertuduh yang diwakili peguam bela, Muhammad Zaim Rusli memberitahu anak guamnya hanya bersedia dengan RM8,000 untuk ikat jamin yang akan dibayar oleh abangnya.
“Di resort berkenaan, tertuduh ditugaskan untuk menjaga lembu dengan pendapatan sebanyak RM1,500 sebulan, namun dia sudah tidak menerima gaji sejak 2023. Anak guam saya mengalami sakit tekanan darah rendah dan mengambil ubat-ubatan secara berkala serta tinggal bersama keluarga di Muar dan tiada pasport,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, lapor diri di balai polis setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa serta saksi dan kes disebut semula pada 28 November depan. – UTUSAN