Tidak cukup wang untuk anak sambung belajar, rayuan bapa raih simpati

Tidak cukup wang untuk anak sambung belajar, rayuan bapa raih simpati

M.Chinnakaruppan (dua kiri) gembira selepas anak perempuannya  Kalaimagal berjaya mendaftar bagi menyambung pengajian ke Universiti Malaysia Kelantan (UMK) semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tindakan seorang bapa berkongsi kisahnya yang berdepan masalah kewangan untuk melunaskan bayaran pendaftaran bagi membolehkan anak perempuannya melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di aplikasi WhatsApp mengundang sebak dalam kalangan jiran dan penduduk kampung.

Kepayahan itu membuatkan jiran dan penduduk kampung sepakat melancarkan tabung bagi membantu M. Chinnakaruppan, 67, yang merupakan pesara Majlis Daerah Pengkalan Hulu, Perak, merealisasikan impian anaknya.

Hasilnya, sebanyak RM3,000 berjaya dikumpul dalam tempoh dua jam sekali gus membolehkan Kalaimagal, 20, mendaftar sebagai pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi mengikuti pengajian peringkat Sarjana Muda di Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan (FHPK) selepas ia tular.

Chinnakaruppan berkata, pendapatannya sebanyak RM700 sebulan memberikan kesukaran untuk mendapatkan wang sebanyak itu dalam tempoh yang singkat.

“Saya membuat hantaran WhatsApp pada 21 September lalu untuk memohon sumbangan dari beberapa kenalan dan terkejut mendapati ia tular dan dikongsikan ke dalam grup WhatsApp penduduk kampung.

“Sejak tular di media sosial, penduduk kampung berjaya kumpul duit sebanyak RM3,000. Mereka kemudian menyerahkan wang itu kepada saya untuk perbelanjaan anak masuk ke UMK,” katanya ketika ditemui semasa pendaftaran pelajar baharu di UMK semalam.

Chinnakaruppan memberitahu, selain Kalaimagal dia juga perlu menyara tiga lagi anak yang masih belajar.

Katanya, walaupun menghidap sakit saraf dan asma dia akan terus memastikan pelajaran anak-anaknya tidak akan terabai.

Sementara itu, pihak Bahagian Kebajikan Pelajar dan Tatatertib (BKTP) Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMK bertindak segera menerusi Program UMK Cakna dengan menyampaikan wang tunai RM1,000, sumbangan komputer riba serta bakul keperluan asas.

Kesusahan ditanggung keluarga Kalaimagal turut mendapat perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang turut tampil membantunya menyambung pengajian di UMK.-UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN