KOTA BHARU: Tindakan seorang bapa berkongsi kisahnya yang berdepan masalah kewangan untuk melunaskan bayaran pendaftaran bagi membolehkan anak perempuannya melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di aplikasi WhatsApp mengundang sebak dalam kalangan jiran dan penduduk kampung.
Kepayahan itu membuatkan jiran dan penduduk kampung sepakat melancarkan tabung bagi membantu M. Chinnakaruppan, 67, yang merupakan pesara Majlis Daerah Pengkalan Hulu, Perak, merealisasikan impian anaknya.
Hasilnya, sebanyak RM3,000 berjaya dikumpul dalam tempoh dua jam sekali gus membolehkan Kalaimagal, 20, mendaftar sebagai pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi mengikuti pengajian peringkat Sarjana Muda di Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan (FHPK).
Chinnakaruppan berkata, pendapatannya sebanyak RM700 sebulan memberikan kesukaran untuk mendapatkan wang sebanyak itu dalam tempoh yang singkat.
“Saya membuat hantaran WhatsApp pada 21 September lalu untuk memohon sumbangan dari beberapa kenalan dan terkejut mendapati ia tular dan dikongsikan ke dalam grup WhatsApp penduduk kampung.
“Sejak tular dalam media sosial, penduduk kampung kumpul duit sebanyak RM3,000. Mereka kemudian menyerahkan wang itu kepada saya untuk perbelanjaan anak masuk ke UMK,” katanya ketika ditemui semasa pendaftaran pelajar baharu di UMK, semalam.
Chinnakaruppan memberitahu, selain Kalaimagal dia juga perlu menyara tiga lagi anak yang masih belajar.
Katanya, walaupun menghidap sakit saraf dan asma dia akan terus memastikan pelajaran anak-anaknya tidak akan terabai.