Tiada pengecualian cukai, kenaikan gaji minimum bebankan

Tiada pengecualian cukai, kenaikan gaji minimum bebankan industri hotel

PELEPASAN cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama lima tahun yang sedang dinikmati pengusaha hotel tiga bintang ke bawah, perlu diperluaskan kepada hotel bertaraf empat dan lima bintang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pemain industri perhotelan di negeri ini menyifatkan bahawa Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam tidak menyebelahi mereka, sebaliknya bakal menekan para pengusaha terutama membabitkan peningkatan kos operasi.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Melaka Chapter, Khairulnizam Kasim berkata, kenaikan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan yang berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025 tanpa sebarang pengecualian cukai baharu amat membebankan.

KHAIRULNIZAM KASIM

Jelasnya, meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah berakhir, namun prestasi kewangan majoriti pengusaha belum stabil seperti sebelum pandemik Covid-19.

“Saya membawa suara pengusaha hotel kerana kami tidak melihat sebarang insentif atau pengecualian cukai untuk membantu kami mengatasi kelembapan perniagaan ketika ini.

“Pengumuman gaji minimum sektor swasta yang dinaikkan kepada RM1,700 hanya menambah beban kewangan hotel,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Perdana Menteri mengumumkan, kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan yang berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.

Kerajaan juga memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh enam bulan iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.

Tambah Khairulnizam, peruntukan RM550 juta untuk mempergiat promosi dan aktiviti pelancongan sebagai persiapan rapi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 juga tidak membawa sebarang makna kepada industri berkenaan.

Ujarnya, sepatutnya pelepasan cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama lima tahun yang sedang dinikmati pengusaha hotel tiga bintang ke bawah, perlu diperluaskan kepada hotel bertaraf empat dan lima bintang.

“Belanjawan 2025 ini menunjukkan kami seolah-olah diabaikan, walaupun kami telah menyuarakan perkara berkaitan dalam setiap kali pertemuan dengan kementerian sejak beberapa tahun lalu,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN