PORT DICKSON: Semua peniaga sewaan khemah dan kanopi berwarna biru yang membanjiri Pantai Telok Kemang di sini telah diarahkan untuk menghentikan perniagaan mereka itu bermula 18 November ini.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Hasnor Abd. Hamid berkata, perkara itu turut melibatkan peniaga yang menjalankan perniagaan serupa di Pantai Tanjung Biru dan Pantai Cermin di sini.
Jelas beliau, langkah tersebut diambil sebagai persediaan menambah baik perniagaan khemah di pantai-pantai Port Dickson.
Katanya lagi, untuk tujuan itu juga, para peniaga dikehendaki memastikan semua peralatan milik mereka seperti khemah, meja, kerusi, payung serta struktur dan binaan tempat simpanan tidak ditinggalkan di kawasan pantai.
“Pihak MPPD akan melupuskan apa-apa peralatan yang masih kekal di pantai sekiranya ada selepas pemantauan dilakukan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, isu berkaitan kawasan Pantai Telok Kemang di Port Dickson yang dibanjiri dengan pemasangan khemah dan kanopi berwarna biru sehingga menimbulkan rungutan dalam kalangan pengunjung akan diselesaikan menjelang penghujung tahun ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, proses perbincangan dijalankan bersama peniaga sewaan khemah terbabit bagi mencari kaedah penyelesaian termasuk berkemungkinan konsep baharu khemah akan digunakan.
Katanya perbincangan dilakukan bagi mencari jalan penyelesaian menang-menang termasuk supaya pengusaha boleh terus mencari rezeki seperti yang dilakukan sejak sekian lama di samping memastikan pemandangan indah persekitaran lebih selesa di pantai terbabit.
“Insya-Allah diselesaikan hujung tahun ini. Konsepnya lain, 1 Januari akan berubah, rundingan sedang berjalan,” kata Aminuddin.-UTUSAN.