Terus hormati Jumaat, cuti Sabtu, Ahad beri ruang aktiviti keluarga - MB - Utusan Malaysia

Terus hormati Jumaat, cuti Sabtu, Ahad beri ruang aktiviti keluarga – MB

ONN HAFIZ GHAZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri yakin pertukaran semula cuti hujung minggu Johor ke hari Sabtu dan Ahad bermula tahun depan tidak akan menjejaskan usaha menghormati Jumaat selaku penghulu segala hari bagi agama Islam.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama-sama Mufti Johor dan agensi terlibat akan memperincikan waktu kerja yang sesuai, terutamanya pada Jumaat.

Katanya, langkah itu bertujuan memberi ruang dan masa mencukupi bagi umat Islam menunaikan solat Jumaat.

“Penyelarasan semula cuti hujung minggu Johor ke hari Sabtu dan Ahad akan melibatkan semua rakyat Johor, terutamanya 587,343 pelajar dan 1.948 juta tenaga kerja dari sektor kerajaan dan swasta.

“Insya-Allah, tanpa mengenepikan kepentingan solat, penyelarasan ini juga akan mengurangkan masalah penjadualan dalam kalangan sektor awam dan sektor swasta,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Onn Hafiz berkata, langkah itu bakal memberi ruang kepada keluarga meluangkan masa bersama-sama dan membantu memudahkan aktiviti rentas sempadan serta aktiviti perniagaan.

Terdahulu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah bahawa cuti hujung minggu di negeri ini ditukar semula ke hari Sabtu dan Ahad, bermula 1 Januari depan dan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Pada 2014, Sultan Ibrahim  menitahkan cuti hujung minggu Johor ditukar ke hari Jumaat dan Sabtu.

Selain Johor, negeri yang melaksanakan cuti hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu ketika ini adalah Kedah, Terengganu dan Kelantan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya