BALING: Tergamak mereka bertindak kejam terhadap suami saya, hanya kerana duit mereka hilang pertimbangan sampai tahap bunuh.”
Demikian luahan Subhiah Roslina Shahibi, 57, isteri kepada pesara Felcra, Sabari Baharom, 62, yang jasadnya belum ditemukan selepas didakwa dicampak dua suspek ke dalam Sungai Padang Terap di Kubang Pasu.
Selama ini, dia menunggu perkembangan dengan penuh debaran dan kini reda dengan pengesahan dimaklumkan polis.
“Saya akan bersama adik saya ke sungai di Kedah tempat suami dicampak,” katanya ketika dihubungi .
Subhiah tinggal di Selayang kerana bekerja di Kuala Lumpur, manakala suaminya duduk berseorangan di Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang, di sini.
Menurutnya, dia mendapat berita kematian suaminya pukul 2 petang kelmarin melalui kumpulan WhatsApp keluarganya.
Katanya, pada mulanya anak saudara kepada suaminya yang memaklumkan perkembangan itu sebelum anak tirinya pula memberitahu bahawa dia berada di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah untuk berjumpa dengan Ketua Polis Negeri.
“Dari situ saya dapat tahu polis telah mengesahkan bahawa suami saya dibuang oleh suspek ke dalam sungai dan usaha pencariannya giat dilakukan.
“Perasaan saya agak lega sedikit kerana selama 26 hari menunggu dan mendapat jawapannya, kini kami menunggu satu lagi berita iaitu bila jasad arwah akan ditemukan.
“Setiap hari kami sekeluarga memikirkan misteri kehilangan suami dan harap-harap dapatlah apa sahaja yang berkaitan dengan arwah sama ada pakaian atau apa sahaja barangan.
Semalam, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh mengesahkan Sabari dicampak ke dalam Sungai Padang Terap dengan tangan diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat.
Katanya, maklumat itu diperoleh hasil pengakuan dua lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun yang ditahan polis Jumaat lalu.
Pada 4 September lalu, bapa kepada tiga anak itu dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang.
Kehilangan warga emas itu disedari anaknya selepas telefon bimbit dimatikan selain terdapat transaksi pengeluaran wang dari akaun bank milik Sabari. Kereta terbabit kemudian ditemui terbakar di Belantik, Sik.
Sementara itu, polis meneruskan operasi pencarian Sabari di Sungai Padang Terap.
Usaha pencarian yang bermula pukul 9 pagi setelah dihentikan pukul 7 petang kelmarin.
Tinjauan mendapati operasi mencari dilakukan di sepanjang sungai tersebut termasuk di celah rimbunan pokok di kawasan tebing.
Difahamkan, pencarian dilakukan di sungai berkenaan dari Wang Tepus menghala ke Kepala Batas sejauh kira-kira 12.8 kilometer (km), serta dari Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang ke Tandop Chegar, di sini yang sejauh 7km.
Sementara itu, anggota operasi dilihat berdepan kesukaran berikutan faktor hujan lebat dan arus deras sungai selain kawasan itu yang turut dilanda banjir. – UTUSAN