Tengku Hassanal titah beri keadilan buat mangsa di pukul kerabat Pahang - Utusan Malaysia

Tengku Hassanal titah beri keadilan buat mangsa di pukul kerabat Pahang

TENGKU HASSANAL IBRAHIM ALAM SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bertitah agar keadilan dapat diberikan kepada mangsa pukul sekumpulan lelaki termasuk seorang kerabat diraja Pahang dalam kejadian di sebuah kandang kuda di sini, Jun lalu.

“Dia orang saya, bagi dia keadilan sekarang,” titah baginda menerusi status berbahasa Inggeris yang dimuatnaik di aplikasi Instagram milik baginda, this.7, malam tadi.

Semalam, mangsa, Alias Awang, 44, dilaporkan mendakwa kesal apabila kes yang pernah tular sehingga mendapat perhatian Tengku Hassanal pada awal September lalu sehingga kini masih belum mendapat sebarang perkembangan.

Dalam status yang dimuatnaik kira-kira pukul 8 malam itu, Tengku Hassanal turut bertitah, keadilan bukan sahaja perlu dilakukan, tetapi ia juga perlu dilihat dilaksanakan.

“Mereka yang membela keadilan akan sentiasa menghadapi tentangan daripada mereka yang melakukan ketidakadilan.

“Akhirnya, mereka yang berdiri dalam cahaya akan menang manakala mereka yang berada di pihak yang salah pasti akan jatuh,” titah baginda.

Terdahulu, pekerja pembinaan itu mendakwa dipukul dan diserang menggunakan pisau serta pistol oleh sekumpulan lelaki termasuk membabitkan seorang kerabat diraja Pahang dalam kejadian di sebuah kandang kuda di sini, Jun lalu.

Kesan serangan itu, Alias mengalami kecederaan di bahagian paha kanan dan kejadian tersebut dilaporkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada 8 Jun lalu selepas mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN