KANGAR: Pementasan teater Asy Syura berkisarkan konflik kekeluargaan yang memberi 1,001 pengajaran dalam naskhah agung, Tan Sri Johan Jaaffar berjaya meruntun jiwa setiap penonton yang memenuhi segenap ruang Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis di sini, semalam.
Naskah berkenaan berjaya disampaikan dengan penuh penghayatan oleh para pelakon terkenal terdiri daripada Yaakob Abd. Aziz, Fendy Bakry dan Hairi Safwan selain lakonan cukup berkesan daripada barisan pelakon anak jati negeri ini seperti Noor Hanan, Azam Muhamad, Hafedz, Shahidah, Fathin Salsabella, M.Yushazizi, Aini Nadiah dan Iswani.
Teater berkonsepkan realisme mengambil intipati surah Asy Syura itu berkisarkan mengenai perbalahan adik beradik iaitu Mid, Nin, Odah, Agok dan Ajis yang sering bercanggah pendapat dalam menguruskan tanah pusaka peninggalan arwah bapa mereka.
Malah, salah satu babak antara Agok dan Mid yang dilakonkan oleh Yaakob atau lebih dikenali sebagai Cikgu Yaakob itu berjaya membuatkan penonton menitiskan air mata selain pengakhiran pementasan berkenaan yang cukup meninggalkan kesan mendalam.
Pementasan teater Asy Syura oleh JKKN negeri yang diarah dan hasil olahan Mohd. Khairil Mohd. Salleh itu berlangsung dua hari pada 25 dan 26 Oktober.
Program karya agung tersebut merupakan inisiatif Belanjawan 2024 yang diperkenalkan kerajaan bagi mengangkat karya-karya yang diiktiraf di peringkat negeri dan negara.
Ia juga bertujuan menyemarakkan dan mengangkat karya seni, sastera, teater warisan dan karya agung tempatan.
Pengarah JKKN negeri, Norazlin Nordin berkata, sambutan sempena dua hari pementasan tersebut di luar jangkaan dengan penonton hadir melebihi kapasiti auditorium.
Katanya, penonton juga memberikan maklum balas yang baik dengan mereka dapat memahami dan menghayati lakonan yang dipersembahkan barisan pelakon hebat itu.
“Sambutan pementasan teater Asy Syura di sini boleh saya kata bagaikan ‘pecah panggung’.
Kita lihat ramai yang datang ini orang muda termasuk ibu bapa yang membawa anak untuk menonton teater tersebut. Pementasan teater seperti ini juga mampu memupuk minat orang muda dalam seni teater,” katanya.
Tambah Norazlin, matlamat utama penganjuran pementasan teater berkenaan juga adalah untuk mengangkat dan memperkenalkan karya agung sasterawan negara. – UTUSAN