Tangguh dahulu caruman KWSP pekerja asing - FMM

Tangguh dahulu caruman KWSP pekerja asing – FMM

SOH THIAN LAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa menangguhkan sekurang-kurangnya dua tahun pelaksanaan bagi mewajibkan pekerja asing mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM), Soh Thian Lai berkata, ia disebabkan tiada perincian jelas berhubung pelaksanaan itu selain menyifatkannya sebagai mengejutkan kerana tiada rundingan dengan pihak berkepentingan dilakukan terlebih dahulu.

“Walaupun pengumuman itu menyatakan pelaksanaannya akan berlaku secara berperingkat, perincian kritikal masih tidak jelas.

“Ketidakjelasan ini telah menimbulkan kebimbangan dalam komuniti perniagaan kerana tiada rundingan dibuat terlebih dahulu dengan pihak berkepentingan sebelum perubahan dasar besar ini diumumkan.

“Pelaksanaan perlu ditangguhkan, sebaiknya selama dua tahun, bagi memberi masa yang mencukupi untuk rundingan komprehensif bersama pemegang taruh dan untuk perniagaan menyesuaikan diri dengan komitmen kewangan yang bakal dihadapi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat Jumaat lalu mengumumkan kerajaan mempertimbangkan untuk mewajibkan pekerja asing mencarum dalam dana persaraan sektor swasta.

Dalam pada itu, Thian Lai memaklumkan dasar tersebut akan memberi kesan kepada operasi perniagaan, kos dan pengurusan tenaga kerja.

“Ketiadaan rundingan dengan perniagaan sebelum pengumuman dibuat menyebabkan industri tidak bersedia dengan perubahan tersebut.

“Tiada maklumat diberikan tentang aspek utama seperti garis masa pelaksanaan, siapa yang akan terlibat di bawah mandat ini, kadar caruman bagi majikan dan pekerja bukan warganegara, atau bagaimana pelaksanaan berperingkat akan diuruskan.

“Ini meningkatkan ketidakpastian dalam kalangan industri yang kini menunggu maklumat lebih terperinci tentang bagaimana dasar ini akan dilaksanakan,” jelasnya.

Beliau menjelaskan, pengumuman itu dibuat pada masa yang ‘kritikal’ dengan kenaikan gaji minimum dan pelaksanaan mekanisme levi pelbagai peringkat dijangka tahun depan.

Sementara itu, Thian Lai menyatakan jaringan keselamatan sosial untuk pekerja asing seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sudah mencukupi untuk perlindungan golongan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya