AMPANG JAYA: Tiada sebarang pembangunan pesat dilaporkan sehingga menjadi penyebab utama berlakunya tanah runtuh di Taman Melawati.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri sudah mengeluarkan kebenaran merancang kawasan itu sejak 10 tahun lalu dan telah meluluskan Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).
“Rancangan itu masih belum lengkap sepenuhnya dan ianya bukan pembangunan berkepadatan tinggi tetapi lebih tertumpu kepada lot banglo.
“Kami telah melalui jawatankuasa dan ia diluluskan untuk proses itu (pembangunan). Isunya sekarang adalah mengenai penyelenggaraan jalan dan saliran yang telah dibina.
“Sebab itu, saya pastikan pihak majlis tempatan untuk bertindak jika sebarang laporan atau isu timbul. Mereka mesti mengingatkan pemilik tanah untuk memastikan kejadian seperti itu tidak berulang,” katanya pada sidang media selepas melawat kawasan tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati.
Mengulas lanjut, menurutnya, keseluruhan kawasan termasuk longkang dan jalan raya masih di bawah bidang kuasa pemaju atau pemilik tanah.
“Kami telah mengeluarkan notis yang diperlukan kepada pihak terbabit supaya mereka boleh mengemas kini dan menyelenggara tanah dan laluan itu.
Ditanya sekiranya hukuman atau tindakan akan diambil, beliau berkata, mereka akan melihat kepada undang-undang yang ada, namun tumpuan sekarang adalah untuk menyelamat dan membaiki kawasan terjejas serta penduduknya.
“Kita akan lihat undang-undang yang ada. Sudah tentu, mereka bertanggungjawab. Tetapi pada ketika ini, semasa bencana, keutamaan adalah untuk menyelamatkan orang.
“Kita selamatkan orang ramai dahulu dan memastikan keselamatan. Kemudian meneruskan penyelenggaraan serta membaiki kerosakan, seperti tanah runtuh. Selepas itu, kita akan ambil tindakan segera,” katanya.
Terdahulu media melaporkan hujan lebat sejak awal pagi semalam mengakibatkan kejadian tanah runtuh setinggi 30 meter di Taman Melawati, Ulu Kelang.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima maklumat tersebut sekitar pukul 11.42 pagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian itu menyebabkan 20 unit rumah teres terputus laluan utama.
Pihaknya bersama JBPM dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan bersama-sama di lokasi untuk pemantauan berkala. – UTUSAN