Tanah runtuh: 114 kawasan berisiko tinggi sekitar Ampang Jaya

Tanah runtuh: 114 kawasan berisiko tinggi sekitar Ampang Jaya

KEADAAN tanah runtuh di Taman Melawati semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG JAYA: Sebanyak 114 kawasan dikenal pasti berisiko tinggi untuk kejadian tanah runtuh terjadi di sekitar Ampang Jaya.

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, masih banyak kawasan yang berisiko untuk berlaku tanah runtuh namun semuanya dalam kawalan pihak berkuasa.

“Lebih 600 kawasan yang telah dikenal pasti berisiko menjadi kawasan tanah runtuh dengan 400 daripadanya dalam pemantaun pihak berkuasa.

“Daripada 400 itu, sebanyak 114 kawasan hotspot yang boleh berlaku bencana tanah runtuh dalam masa terdekat.

“Kawasan titik panas ini adalah kawasan yang ditanda dengan warna kuning, jingga dan merah,” katanya ketika ditemui di Taman Melawati di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan, bantuan daripada kerajaan negeri Selangor telah diberikan kepada mangsa sebanyak RM500 untuk meringankan bebanan yang dihadapi.

Beliau seterusnya melawat 23 penduduk yang terdiri daripada tujuh keluarga mangsa tanah runtuh yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna di AU2 Taman Keramat.

Terdahulu media melaporkan hujan lebat sejak awal pagi semalam mengakibatkan kejadian tanah runtuh setinggi 30 meter di Taman Melawati, Ulu Kelang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima maklumat tersebut sekitar pukul 11.42 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian itu menyebabkan 20 unit rumah teres terputus laluan utama.

Pihaknya bersama JBPM dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan bersama-sama di lokasi untuk pemantauan berkala. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN