SHAH ALAM: Berbeza dengan sesi prosiding pertama, kali ini kemunculan pelakon, Fattah Amin, 34, bagi sebutan kedua permohonan perceraiannya tampak lebih segar dan tenang.
Pelakon filem Pendekar Awang ini tidak lagi tampak sugul seperti kehadirannya di Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada 25 September lalu.
Bahkan, Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, bersuara apabila meminta kira-kira wakil media mendoakan kelancaran urusannya pada hari ini.
“Doa-doa yang baik, semoga segalanya dipermudahkan,”katanya ketika di perkarangan mahkamah kira-kira pada pukul 9.30 pagi tadi, 11 minit selepas kehadiran Fazura.
Fattah diiringi Peguam Syarie, Zulkifli Che Yong yang sebelum menyatakan adanya tanda positif terhadap perjalanan kes perceraian pasangan ini yang bakal diselesaikan secara baik.
Fattah yang hadir menggenakan sut biru lengkap bersongkok turut menjawab mengenai keadaan puteri tunggalnya, Nur Fatima Aisya, 4.
“Dia gembira dapat luang waktu dan menyambut ulang tahun kelahirannya dengan daddy dia,”katanya.
Pasangan terbabit hadir ke mahkamah bagi sebutan kedua tuntutan perceraian yang difailkan oleh Fazura terhadap Fattah. – UTUSAN