AMPANG JAYA: Keadaan tanah dilaporkan stabil dan tiada pergerakan baharu dicatatkan di lokasi kejadian tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati di sini hari ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar ketika melakukan tinjauan di lokasi kejadian, di sini hari ini.
Walaubagaimanapun menurut beliau, masih terdapat beberapa perkara perlu dilakukan sebelum membenarkan penghuni untuk pulang ke rumah masing-masing.
“Selepas dipantau dari semasa ke seama, keadaan di lokasi kejadian adalah stabil dan tiada pergerakan tanah baharu direkodkan.
“Terdapat beberapa perkara perlu dilakukan lagi seperti menebang pokok yang tumbang dan membersihkan kawasan sekitar sebelum penghuni terjejas dibenarkan pulang ke rumah mereka.
“Pihak berkuasa juga akan menilai sekali lagi keadaan di lokasi kejadian bagi memastikan situasi benar-benar selamat,” katanya.
Dalam pada itu, Hussein turut memberitahu, terdapat mesyuarat antara polis dan wakil majlis daerah pada petang ini bagi membincangkan perkara tersebut.
“Petang ini akan ada mesyuarat antara polis dan wakil majlis daerah bagi membincangkan sama ada penduduk boleh balik atau tidak,” katanya.
Tambah Hussein, keselamatan rumah penghuni yang terjejas dijamin selamat oleh kawalan polis.
“Jalan yang ditutup dan juga rumah-rumah (penduduk terjejas) dalam keadaan yang baik. Pihak polis beri jaminan jaga rumah sehingga penghuni balik ke rumah masing-masing
“Keadaan di tempat PPS (Pusat Penempatan Sementara) pun dalam keadaan baik, agensi berkaitan main peranan mengambil bahagian dalam memastikan mangsa-mangsa ada kebajikan dari segi makan minum, kebersihan dan keperluan mereka,” katanya.
Terdahulu, hujan lebat yang bermula sejak awal pagi kelmarin telah menyebabkan kejadian tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati, Ampang.
Kejadian tersebut tular dalam media sosial melalui video yang menunjukkan runtuhan tanah berlaku berhampiran kawasan perumahan.
Aliran air deras dari bukit turut mengakibatkan beberapa pokok tumbang di sekitar rumah dan kenderaan penduduk.
Kejadian ini menyebabkan sebanyak 23 orang diarah berpindah mengosongkan rumah dan ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS).