Syarikat pengendali umrah, pengarah didenda, gagal patuhi award TTPM - Utusan Malaysia

Syarikat pengendali umrah, pengarah didenda, gagal patuhi award TTPM

MOHD. Firdaus Ahmad (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban bagi berdepan hukuman atas kesalahan gagal mematuhi award TTPM kepada tiga individu berjumlah RM67,390 pada bulan Julai tahun lalu.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebuah syarikat pengendali umrah dan pengarahnya dijatuhkan hukuman denda keseluruhan sebanyak RM18,000 oleh Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas enam pertuduhan gagal mematuhi award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) kepada tiga individu berjumlah RM67,390, Julai tahun lalu.

Hukuman itu dijatuhkan terhadap orang kena saman (OKS), Mohd. Firdaus Ahmad, 38,  oleh Majistret, Nurul Azuin Mohd Talhah selepas OKS membuat pengakuan bersalah pada 14 Oktober lalu.

Nurul Azuin turut menetapkan hukuman sebulan penjara sekiranya OKS gagal menjelaskan bayaran denda sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan berkenaan.

Berdasarkan kesemua pertuduhan, OKS didapati telah gagal selepas 14 hari dari tarikh award diserahkan untuk mematuhi award TTPM bertarikh 27 Jun 2023 yang dibuat di Pejabat TTPM Negeri Sembilan yang memerintahkannya supaya membayar masing-masing sebanyak RM25,470 kepada Siti Aisyah Zakaria,32; RM14,040 kepada Norma Said, 58, dan RM27,880 kepada Azlina Umar, 52, yang membuat tuntutan berkenaan.

Selain itu OKS yang merupakan Pengarah Persada Oasis Travel & Tours Sdn. Bhd. turut didakwa melakukan kesalahan sama.

Perbuatan itu dilakukan di syarikat itu di premis beralamat di Taman Ostia Bangi, Bandar Baru Bangi, Selangor, pada 26 Julai 2023.

Berikutan itu OKS telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Sekiranya kesalahan yang berterusan, boleh sebagai tambahan kepada penalti boleh didenda tidak kurang daripada RM100 dan tidak melebihi RM5,000 bagi setiap hari atau sebahagian hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Janawatul Fieza Hamisan dan Sallim Wahid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, OKS dalam rayuan mendakwa namanya diletakkan secara tidak sah sebagai pengarah syarikat pada penghujung tahun 2022.

“Saya menjadi mangsa dan kambing hitam. Saya bukan orang industri umrah dan saya tidak tahu, cuma menjadi rakan kongsi dengan pemilik syarikat (sebelum ini). Ada 1,500 jemaah tidak dapat terbang (laksana umrah) dan saya guna dana peribadi saya sendiri bagi 1,420 jemaah.

“80 orang (jemaah) lagi sangkut (tak dapat kerjakan umrah). Saya kehilangan kerja dan kini hanya berkebun sayur. Saya juga ada anak orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Beliau juga menyatakan keazaman untuk mengusahakan baki bayaran denda yang ada dan memohon diberi peluang untuk dia pulih semula.

Bagaimanapun, Janawatul Fieza dalam hujahannya memohon agar mahkamah mempertimbangkan kepentingan awam sebelum menjatuhkan hukuman berikutan semakin banyak kes ketidakpatuhan tuntutan award.

“Tuntutan (award) masih belum dijelaskan. Tiada sebarang usaha (OKS) untuk membuat bayaran kepada pihak yang menuntut malah kes juga menyebabkan kerugian kos masa penuntut, pihak kementerian dan mahkamah,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN