JOHOR BAHRU: SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) akan memastikan perkhidmatan pembersihan longkang di semua 15 pihak berkuasa Tempatan (PBT) negeri ini dilaksanakan bagi mengelak kejadian banjir menjelang peralihan Monsun Timur Laut (MTL).
Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, pihaknya telah merangka Pelan Operasi Musim Banjir sebagai persediaan menghadapi MTL yang dijangka bermula November hingga Mac tahun depan.
“SWM Environment akan bekerjasama dengan kerajaan negeri, PBT serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dalam melaksanakan gerak kerja operasi musim banjir terutamanya di lokasi berisiko tinggi.
“Kerjasama itu turut merangkumi persediaan membantu mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) menerusi operasi kutipan sisa pepejal dan penempatan tong sampah mengikut keperluan di setiap PPS,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Pihaknya juga telah menyediakan pasukan bertindak untuk bersama-sama pihak berkuasa memberi bantuan awal di lokasi tumpuan tersebut.
“Kenderaan berjentera seperti lori jentera penyembur air (water jet), ultra-whack, lori Roll-On Roll-Off (RORO) dan jentolak juga bersedia untuk dilibatkan dalam operasi pembersihan pasca banjir.
“Sementara itu, penduduk di lokasi berisiko banjir diingat untuk memastikan tong sampah beroda mereka ditempatkan di dalam kediaman masing-masing bagi mengelakkannya hanyut dibawa arus banjir. Namun, bagi situasi kehilangan akibat dihanyutkan arus banjir, penggantian baharu boleh dikemukakan dengan melampirkan bersama salinan laporan polis,” jelasnya. – UTUSAN