Sukarnya mencari sahabat sejati - Najib - Utusan Malaysia

Sukarnya mencari sahabat sejati – Najib

NAJIB RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Sukarnya mencari sahabat sejati”.

Demikian luahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini menghadapi pendakwaan berkaitan skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di mahkamah.

Menurut beliau, terdapat sebilangan ‘sahabatnya’ yang hanya hadir di sisi ketika beliau senang tetapi hilang apabila menghadapi situasi sukar.

Bagaimanapun, katanya, beliau berterima kasih kepada rakan-rakan yang menunjukkan solidariti dengan hadir ke mahkamah untuknya.

“Belum tentu yang ada di sisi itu sahabat yang hadir di waktu sukar, ramai yang tunjuk muka ketika mahu kesenangan. Ada yang bermuka-muka tetapi hidup ini memang penuh pengajaran.

“Dikala kepahitan hari ini, ada setitik kemanisannya dan penghargaan. Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang datang ke mahkamah hari ini (semalam). Bukan sahaja dari pemimpin-pemimpin parti politik, ataupun kenalan.

“Dilihat begitu ramai dalam kalangan penyokong dan rakyat biasa yang mengenang jasa serta merindui dasar pentadbiran dahulu.

“Ikhlas, inilah yang benar-benar sahabat sejati. Kerana di masa ini apalah yang ada lagi untuk diberi selain penghargaan dan ucapan terima kasih? Semoga persahabatan di dunia ini kekal, dibawa dan menjadi modal di akhirat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Semalam, Najib diperintah membela diri atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion dana 1MDB.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan pihak pendakwaan berjaya mewujudkan prima facie terhadap bekas perdana menteri dan menteri kewangan terbabit.

Kes didengar Collin Lawrence Sequerah yang kini merupakan hakim di Mahkamah Rayuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN