Sukan finswimming makin diminati - Utusan Malaysia

Sukan finswimming makin diminati

PARA perenang menyertai acara finswimming di Kompleks Sukan EduCity, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Sukan finswimming yang diperkenalkan di negara ini sejak 2021 semakin mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat menerusi pelbagai kejohanan yang dianjurkan.

Presiden Persatuan Finswimming Malaysia, S. Ravivarma berkata, perkara itu dibuktikan dengan peningkatan jumlah peserta lebih dua kali ganda, iaitu seramai 350 orang berbanding kira-kira 130 peserta pada tahun lalu.

Katanya, jumlah persatuan sukan tersebut turut bertambah membabitkan enam negeri, iaitu Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, Selangor, Johor dan Pahang, manakala Kedah dan Kuala Lumpur dalam proses pendaftaran.

“Perkembangan sukan ini amat positif dan kita berharap semua negeri mempunyai persatuan sukan finswimming masing-masing bagi mempromosikan sukan tersebut.

“Sukan ini telah diperkenalkan dalam Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) di Universiti Utara Malaysia (UUM) bulan lalu dan berharap dapat dipromosikan kepada universiti-universiti yang terlibat,” katanya pada Kejohanan Finswimming Peringkat Umur Malaysia 2024 di Kompleks Sukan EduCity, di sini yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad.

Finswimming merupakan acara sukan renang yang menggunakan peralatan apungan dan pernafasan, iaitu sepasang sirip kaki (bifin) atau sirip kaki tunggal (monofin) serta mask, snorkel dan set skuba.

Pasukan finswimming negara membuat penampilan sulung dalam Sukan SEA di Hanoi, Vietnam diikuti Sukan SEA di Kemboja malah berjaya memperolehi satu pingat gangsa. 

Ravivarma berkata, pasukan negara turut cemerlang meraih satu pingat gangsa bagi acara berganti-ganti pada Kejohanan Finswimming Asia di Phuket, Thailand bulan lalu.

Dalam pada itu, Ravivarma turut menyuarakan impiannya agar acara itu dapat disenaraikan dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) yang akan datang selepas memenuhi syarat-syarat ditetapkan Jawatankuasa Tertinggi Sukma.

“Untuk melayakkan acara ini disenaraikan ke temasya Sukma, sekurang-kurangnya kita perlu ada tujuh ke lapan negeri persatuan finswimming.

“Kami jangkakan dapat memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan pada tahun depan dan kini persatuan sedang giat dalam menganjurkan siri kejohanan di peringkat negeri menerusi program pembangunan akar umbi bagi melahirkan atlet terbaik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya