Suami isteri maut kereta langgar jentera pengorek tanah, anak cedera parah - Utusan Malaysia

Suami isteri maut kereta langgar jentera pengorek tanah, anak cedera parah

SUAMI isteri maut apabila kenderaan dinaiki melanggar jentera pengorek tanah di bahu jalan berhampiran Kem TUDM Batu 10, jalan Kuantan-Maran di Kuantan, Pahang. - FOTO IHSAN JBPM PAHANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sepasang suami isteri maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka terbabas dan melanggar jentera pengorek tanah yang diletakkan di bahu jalan berhampiran Kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Batu 10 Jalan Kuantan-Maran di sini awal pagi tadi.

Mangsa, Mohd. Fadli Mohd. Abidin, 42, dan isterinya, Rohafiza Taha, 50, yang merupakan pemandu dan penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Turut bersama dalam kenderaan terbabit, anak mangsa yang merupakan penumpang belakang, Mohd. Osman Wafi, 11, mengalami cedera parah.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan  dari arah Gambang menghala ke arah Kemaman.

“Apabila  sampai di tempat kejadian, semasa bergerak lurus, tiba-tiba kenderaan dinaiki mangsa hilang kawalan dan melanggar jentera pengorek tanah yang diletakkan di bahu jalan.

“Akibat kemalangan tersebut pemandu dan penumpang hadapan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penumpang belakang yang berusia 11 tahun mengalami cedera parah,” katanya di sini hari ini.

Difahamkan kedua-dua mangsa beralamat di Kemaman, Terengganu. Mohd. Fadli merupakan pesara awal bomba manakala Rohafiza merupakan seorang guru.

Wan Mohd. Zahari juga memberitahu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat, manakala anak mangsa dikatakan tidak sedarkan diri dan sedang menerima rawatan di zon merah hospital sama.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan  1987 dan siasatan giat dilakukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN