BAGAN DATUK: Penduduk Bagan Sungai Tiang di sini bimbang apabila binaan kunci air di kampung mereka mengalami kerosakan sehingga strukturnya senget.
Mereka bimbang kunci air itu boleh runtuh pada bila-bila masa yang boleh menyebabkan air dari muara Sungai Perak melimpah hingga ke kawasan penempatan.
Jika berlaku, dijangkakan banyak kawasan akan terjejas bukan sahaja penempatan penduduk tetapi juga ladang sawit dan kebun kelapa serta pisang yang diusahakan penduduk.
Seorang penduduk, Marzuki Idris, 84, berkata, keadaan kunci air itu yang semakin rosak menyebabkan berlaku limpahan air laut dari Selat Melaka ketika air pasang besar baru-baru ini.
Menurutnya, melihatkan keadaan kunci air itu yang semakin rosak, air mudah melepasi tebing jika aras laut naik.
Katanya, lain-lain struktur di kunci air itu seperti ban yang ditambak batu di kiri dan kanannya juga tidak lagi kukuh dan berlaku hakisan pada tanah ban.
“Semasa air pasang besar baru-baru ini, air naik melepasi ban dan kunci air ini hingga ke kawasan penempatan penduduk.
“Kami bimbang kerana keadaan kunci air ini yang sudah senget bolah roboh pada bila-bila masa yang akan menyebabkan lebih banyak air laut masuk ke kampung kami.
“Jika berlaku ia akan menjejaskan rumah dan kebun kami seperti yang berlaku semasa air pasang besar baru-baru ini,” katanya.
Menurutnya, ketika air pasang besar baru-baru ini, paras air di kawasan rumahnya naik sehingga paras pinggang.
Katanya, keadaan itu mungkin disebabkan kunci air di kampung itu tidak mampu menahan aliran air laut masuk ke kampung itu.