SRC bukan bayi saya – Najib

SRC bukan bayi saya – Najib

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Awak berdua bukannya berbual sesama sendiri, ini mahkamah.”
Begitulah teguran Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin kepada peguam, Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar dan Datuk Seri Najib Razak yang dilihat berulang kali menyampuk percakapan masing-masing.

“Datuk Nijar, bila awak tanya soalan, awak kena biarkan dia menjawabnya (sehingga habis) dan Datuk Seri Najib, jawab soalan (yang diberikan), sebarang penjelasan boleh diberikan sewaktu pemeriksaan semula,” kata hakim itu dalam perbi­caraan kes saman SRC International terhadap bekas Perdana Menteri itu dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Faisal Ariff Kamil.

Gurdial peguam kepada bekas pengarah syarikat itu, Datuk Suboh Md. Yassin yang dinamakan sebagai pihak ketiga dalam tindakan saman itu.

Terdahulu, kedua-dua lelaki itu dilihat saling berbalas kata-kata apabila peguam terbabit menyatakan bahawa syarikat pelaburan strategik negara itu adalah ‘bayi’ kepada Najib.

Najib: Kita ada dokumen yang menunjukkan bukan saya yang melahirkan idea SRC International. Saya perlu betulkan (kenyataan) awak. Kalau awak kata SRC International adalah ‘bayi’ saya, saya pastinya bukan bapanya.

Gurdial: Baiklah, kalau begitu kami tersilap apabila menyatakan idea (penubuhan SRC International) datang daripada awak.

Najib: Baiklah, tetapi ayah kepada SRC International? Pas­tinya, bukan. Jangan kata bahawa saya ‘ayah’ kepada SRC International.
Gurdial: Baiklah, saya takkan nyatakannya lagi.

Keadaan timbul semula apabila peguam itu mendakwa keterangan Najib yang dilihat meletakkan kesalahan terhadap Suboh dan bekas ahli-ahli lembaga pengarah itu disifatkan sebagai satu mantera.

Najib: Itu bukan satu mantera, itu adalah fakta mengikut undang-undang. Bukan mantera saya.
Gurdial: Mantera adalah satu perkataan atau ayat yang di­ulang-ulang beberapa kali.

Najib: Awak tidak boleh kata itu mantera saya. Itu fakta.

Pada prosiding sama, Najib menyatakan bahawa beliau tidak akan melakukan sebarang tindakan yang bertentangan dengan kepentingan syarikat itu atau mana-mana syarikat di bawahnya (Kementerian Kewangan) dan negara kerana beliau telah mengangkat sumpah untuk melindungi mereka.

“Sebagai Perdana Menteri, saya tidak boleh melakukan perkara yang bertentangan dengan kepentingan syarikat atau negara kerana saya mengangkat sumpah bawah Perlembagaan Persekutuan untuk melindunginya,” kata bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

Katanya, mana-mana ahli lembaga pengarah boleh meletakkan jawatan sekiranya tidak bersetuju dengan arah tuju atau cara syarikat itu diuruskan.

Bagaimanapun ketika disoal oleh Gurdial, ‘kesalahan’ yang dilakukan oleh ahli-ahli lembaga pengarah termasuk anak guamnya sehingga menyebabkan SRC International mengalami kerugian, Najib berkata, beliau akan jawab kemudian.

Pada 7 Mei 2021, SRC International memfailkan saman sivil terhadap Najib dan Nik Faisal dengan menuntut ganti rugi AS$1.18 bilion.

Dalam saman itu, lima bekas pengarah syarikat itu turut dinamakan sebagai pihak ketiga. Sebelum ini, SRC menggugurkan lima individu berkenaan dalam saman itu dan hanya mengekalkan Najib dan Nik Faisal sebagai defendan.

Lima individu itu ialah Datuk Suboh Md. Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar.

SRC International yang juga anak syarikat 1MDB selaku plaintif, dalam writ saman mendakwa kesemua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah. Najib turut didakwa menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

SRC International memohon deklarasi bahawa semua defendan bertanggungjawab untuk membayar kerugian dana pelaburan itu akibat penggunaan jumlah pinjaman terbabit, selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya