SPA jangka terima 1.5 juta permohonan kemasukan sektor awam tahun ini - Utusan Malaysia

SPA jangka terima 1.5 juta permohonan kemasukan sektor awam tahun ini

AHMAD Jailani Muhamed Yunus (berdiri empat dari kanan) beramah mesra dengan pemohon pekerjaan pada Majlis Perasmian Pusat Temu Duga, SPA Seremban di UTC Negeri Sembilan@Angsana Seremban di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menjangkakan peningkatan permohonan kemasukan pekerjaan ke sektor awam diterima agensi kerajaan itu sehingga akhir tahun ini.

Pengerusi SPA, Datuk Seri Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata, pihaknya menjangka lebih kurang 1.5 juta permohonan akan diterima peningkatan itu berlaku susulan kecekapan dalam urusan pengambilan calon, selain pengumuman sistem baharu. 

“Sehingga hujung tahun ini kami menjangkakan berlakunya peningkatan permohonan sekitar 20 hingga 30 peratus berbanding jumlah permohonan kemasukan pekerjaan ke sektor awam tahun lalu yang diterima iaitu sebanyak 1.2 juta. 

“Dengan pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dengan adanya sistem Skim Saraan Penjawat Awam (SSPA) yang baru menunjukkan bahawa permintaan dalam kalangan calon amat tinggi. 

“Dengan bilangan permohonan yang tinggi itu memerlukan satu kaedah penyaringan yang lebih baik dan berkesan untuk memastikan mereka yang terbaik itu benar-benar berintegriti dan berkualiti untuk dipanggil temu duga bagi diberi peluang dalam perkhidmatan awam, ” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pusat Temu Duga (PTD) SPA Seremban di UTC Negeri Sembilan@Angsana Seremban, di sini, hari ini. 

Dalam pada itu, Ahmad Jailani berkata, PTD SPA Seremban merupakan yang ke-17 telah diwujudkan di seluruh negara sekali gus dapat menjimatkan masa dan kos perjalanan bagi calon sekitar Negeri Sembilan yang terlibat dalam urusan temu duga. 

“Ia mampu menampung kapasiti sehingga 100 orang calon setiap hari. PTD SPA Seremban ini juga merupakan SPA One Stop Center (OSC).

“Ibukan sahaja memudahkan calon-calon untuk menjalani temu duga, malah turut menyediakan beberapa perkhidmatan seperti kemudahan komputer dan talian internet untuk menduduki Penilaian Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE)-Ujian Psikometrik, konsultasi berkaitan SPA9 dan pelbagai lagi perkhidmatan yang lain. 

“Ini adalah satu langkah penting untuk memastikan setiap urusan calon dapat dijalankan dengan lebih mudah, menjimatkan masa dan kos terutamanya bagi calon-calon dari Negeri Sembilan,” katanya.

Kata beliau lagi, penambahan pusat temu duga ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan SPA untuk mempertingkat system pengambilan pegawai dan kakitangan awam yang lebih telus dan berkesan.

“Pusat temu duga ini akan memainkan peranan penting dalam memastikan calon-calon yang berkelayakan dapat berkhidmat dengan cemerlang dalam perkhidmatan awam,” katanya yang turut memberitahu sebuah lagi PTD SPA akan diwujudkan di UTC Sibu, Sarawak pada akhir tahun ini.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN