Sisa cat, minyak ditemukan dibuang secara haram - Utusan Malaysia

Sisa cat, minyak ditemukan dibuang secara haram

SEBAHAGIAN tong dan tangki IBC yang mengandungi sisa cat dan minyak yang ditemukan dibuang di satu kawasan di Bukit Pelandok, Port Dickson, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 100 tong berkapasiti 210 liter dan lebih kurang 50 tangki IBS berkapasiti 1,000 liter disyaki mengandungi sisa kimia cat dan minyak ditemukan dibuang secara haram di Bukit Pelandok, Port Dickson petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, aduan awal mengenai aktiviti pembuangan haram telah diterima Unit Aduan Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada pukul 4.30 petang melalui aplikasi WhatsApp.

Katanya, bertindak atas maklumat tersebut, unit siasatan JAS Negeri Sembilan telahke lokasi dan tiba pada pukul 6:30 petang bagi melakukan pemeriksaan lanjut.

“Hasil siasatan di lokasi kejadian menunjukkan terdapat lebih kurang 70 hingga 100 tong berkapasiti 210 liter dan lebih kurang 50 tangki IBC berkapasiti 1,000 liter.

“Kawasan pembuangan terletak jauh daripada pandangan umum, terlindung di sebalik dinding yang menghalangnya daripada dilihat dari jalan raya.

Kandungan dalam tong-tong tersebut dipercayai merupakan sisa cat terpakai, manakala tangki IBC pula mengandungi bahan yang dipercayai minyak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Veerapan memberitahu, tiada sebarang label yang terdapat pada bekas-bekas berkenaan dan dipercayai telah ditanggal bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

“Persampelan kandungan telah dibuat dan akan dihantar kepada Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis secara lebih terperinci. Sebagai tambahan, laporan polis telah dibuat bagi tujuan pemberitahuan dan pemantauan yang lebih tepat oleh pihak berkuasa.

“JAS Negeri Sembilan seterusnya akan menjalankan carian pemilik tanah melalui Pejabat Tanah dan Daerah Port Dickson untuk membantu dalam siasatan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

“Tindakan perundangan yang sewajarnya berdasarkan peruntukan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 akan diambil terhadap pihak yang terlibat dalam aktiviti pencemaran ini,” katanya lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN