JOHOR BAHRU: Polis negeri ini membongkar taktik baharu sindiket yang menjual peranti vape mengandungi dadah dalam pasaran.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, taktik itu dibongkar selepas pihaknya menyerbu sindiket itu yang beroperasi sejak dua bulan lalu di sekitar bandar raya ini.
Katanya, seramai tiga individu terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 27 hingga 44 tahun ditahan dalam tiga serbuan berasingan pada Rabu dan Khamis lalu.
“Dalam serbuan itu, kita merampas 16,345 gram (g) serbuk ekstasi, 225g ketamin, 68.85g syabu, 40g pil eramin 5, 115g pil ekstasi, 14.75g ganja dan 330 mililiter cecair disyaki dadah melibatkan 10 katrij dan lima botol.
“Vape mengandungi dadah ini dijual pada harga mahal dan nilai rampasan dalam operasi ini berjumlah RM27,000. Itu antara kaedah untuk kenal pasti jika vape berkenaan mengandungi dadah, harganya mahal,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Kumar berkata, keseluruhan nilai rampasan dadah dalam kes berkenaan adalah RM2.87 juta, manakala sitaan melibatkan sebuah kereta dan wang tunai berjumlah RM44,160.
“Ketiga-tiga suspek yang ditahan positif dadah, manakala dua daripada mereka turut mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya.
Sementara itu, Kumar turut memaklumkan kejayaan menumpaskan satu lagi sindiket pengedaran dadah dalam serbuan ke atas sebuah pangsapuri di bandar raya ini pada pukul 3 petang, 15 Oktober lalu.
Tiga individu ditahan termasuk seorang wanita yang berusia antara 17 hingga 39 tahun melibatkan rampasan dadah bernilai RM871,068 dan sitaan sebanyak RM156,850.
“Kesemua enam suspek yang ditahan dalam dua operasi tersebut kini direman selama tujuh hari sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya sambil memberitahu sejak awal tahun hingga 16 Oktober lalu, polis negeri ini telah menahan seramai 20,137 individu atas pelbagai kesalahan dadah dengan rampasan seberat 5.7 tan bernilai RM59.36 juta. – UTUSAN