Setuju teliti semula dasar pinjaman perumahan - Utusan Malaysia

Setuju teliti semula dasar pinjaman perumahan

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bersetuju meneliti semula dasar pinjaman perumahan bagi memastikan pinjaman jangka panjang yang lebih berpatutan tanpa membebankan isi rumah kurang berkemampuan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, peningkatan nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) daripda 67.2 peratus pada 2002 kepada 81.2 peratus pada 2022 didorong oleh kredit perumahan.

Katanya, kenaikan mendadak dalam sektor hartanah kediaman itu memberi kesan besar kepada pendapatan boleh guna rakyat, terutamanya golongan B40 dan M40.

“Oleh yang demikian, mesyuarat telah bersetuju untuk meneliti semula dasar pinjaman perumahan bersama Kementerian Kewangan, Bank Negara dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Ia bagi memastikan pinjaman jangka masa panjang lebih berpatutan tanpa membebankan isi rumah yang kurang berkemampuan,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif NACCOL Bilangan 3 Tahun 2024 hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, mesyuarat turut membincangkan pelaksanaan ciri pembayaran bersama (co-payment) dalam produk Insurans dan Takaful Perubatan serta Kesihatan (MHIT) yang mampu menawarkan pilihan yang lebih murah dan fleksibel kepada pengguna.

“Langkah ini diharap dapat mewujudkan ekosistem kesihatan yang lebih mampan dan kondusif,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, Jabatan Perangkaan Malaysia turut membentangkan status Indikator Kos Sara Hidup 2023 yang dijangka akan dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 2 November ini.

Katanya, indikator ini diharapkan dapat membantu dalam penggubalan dasar berkaitan kos sara hidup serta pelaksanaan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“Semoga segala yang dibincangkan hari ini akan memberi manfaat yang besar dalam menangani isu kos sara hidup seterusnya memperkukuhkan ekonomi rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Insya-Allah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya