KUANTAN: Lapan sekeluarga tidak dapat tidur lena apabila kediaman mereka di Kampung Chengal Lempong di sini sering dimasuki air hujan berikutan atap rumah rosak teruk berpunca kejadian ribut yang berlaku pada Jun lalu.
Suri rumah, Farah Umiah Abu Bakar, 39, berkata, kejadian itu merosakkan atap bahagian depan kediamannya menyebabkan rumahnya sering dimasuki air hujan.
“Sebenarnya ini adalah rumah PPRT (Program Perumahan Rakyat Termiskin) yang dibina atas tanah ayah saya dan sudah didiami sejak 15 tahun lalu. Disebabkan saya ada sembilan anak, jadi saya dan suami mengambil keputusan menambah ruangan hadapan.
“Pada Jun lalu, ribut melanda dan merosakkan atap rumah kami ini. Kami kutip kembali atap yang terbang dan tampal semula, namun ia tidak sempurna dan ada kebocoran,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Tambah Farah Umiah, sejak itu, dia dan suami terpaksa tidur di ruang depan rumahnya dengan atap bocor.
Menurut Farah Umiah, selepas kejadian ribut itu, dia ada menerima sumbangan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) RM500, namun ia tidak dapat digunakan untuk membaiki atap rumah mereka itu.
“Keadaan sangat teruk ketika itu jadi kami tidak dapat gunakan wang untuk baiki atap rumah. Kelengkapan lain juga rosak terkena hujan seperti buku sekolah anak-anak,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu Farah Umiah dann keluarga boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam miliknya bernombor 06019021195855.