MADRID: Kementerian Dalam Negeri Sepanyol mengumumkan pembatalan kontrak untuk membeli peluru daripada sebuah firma Israel.
Langkah itu dibuat sebagai memperluaskan janji Sepanyol untuk tidak menjual senjata kepada Israel, termasuk aktiviti pembelian dengan negara haram itu.
Sebelum ini, pasukan polis Guardia Civil bersetuju untuk membeli lebih daripada 15 juta peluru jenis 9 mm dengan harga AS$6.48 juta (RM27.89 juta) daripada Guardian LTD Israel.
Sepanyol berkata, ia akan menghentikan penjualan senjata kepada Israel pada Oktober 2023 apabila perang rejim dan Hamas bermula di Gaza.
“Kerajaan Sepanyol mengekalkan komitmen untuk tidak menjual senjata kepada negara Israel sejak konflik tercetus di wilayah Gaza.
“Walaupun dalam kes ini ia adalah pemerolehan peluru, Kementerian Dalam Negeri memulakan prosedur pentadbiran untuk membatalkan pembelian itu,” katanya.
Kementerian itu berkata, syarikat Israel juga akan dikecualikan daripada sebarang tender yang belum selesai.
Kontrak tersebut ditender pada Februari dan dianugerahkan pada 21 Oktober, dengan dua daripada tiga lot diberikan kepada syarikat Israel, kata kementerian.
Sepanyol merupakan antara pengkritik paling keras Kesatuan Eropah (EU) terhadap kempen ketenteraan Israel di Gaza dan terbaharu di Lubnan.- REUTERS