PUTRAJAYA: Pembunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya kekal ke tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak permohonan semakan yang difailkan oleh seorang bekas peguam dan seorang pekerja ladang.
Panel tiga hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Man yang bersidang bersama-sama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais sebulat suara memutuskan demikian selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat.
“Mengguna pakai budi bicara kami dan merujuk kepada fakta dan intipati kes, kami menolak permohonan semakan ini dan hukuman mati dikekalkan,”kata Hakim Tengku Maimun.
Bekas peguam, N. Pathmanabhan dan T. Thilaiyalagan yang merupakan pekerja di Ladang Gadong milik peguam itu memfailkan permohonan semakan itu selepas penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 pada 4 Julai 2023 dan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 pada 12 September 2023.
Seorang lagi pekerja ladang, R. Kathavarayan yang turut disabitkan dengan kesalahan membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pembantu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, turut memfailkan semakan terhadap hukuman itu namun telah menarik balik permohonan tersebut beberapa hari lalu .
Penarikan balik semakan oleh Kathavarayan itu menjadikan hukuman mati yang dijatuhi oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Mei 2013 dan dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan juga kekal.
Di Mahkamah Tinggi Shah Alam, turut disabitkan atas kesalahan membunuh Sosilawati dan tiga lagi ialah seorang lagi pekerja ladang, R. Matan namun lelaki itu dibebaskan di peringkat rayuan di Mahkamah Persekutuan pada 16 Mac 2017.
Mereka didapati bersalah melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, di Banting antara pukul 8.30 dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.
Dalam mensabitkan kesemua lelaki itu dengan pembunuhan kejam terbabit, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam (ketika itu), Datuk Akhtar Tahir merumuskan bahawa motif pembunuhan Sosilawati berkaitan urusan jual beli tanah.
Sosilawati telah ke Ladang Gadong milik peguam terbabit untuk bertemu dengan lelaki itu kerana ingin meminta Pathmanabhan untuk mempercepatkan tarikh untuk menunaikan dua keping cek bernilai RM4 juta hasil penjualan tanah milik syarikat jutawan kosmetik itu yang diuruskan oleh peguam itu agar boleh digunakan untuk sambutan Hari Raya, memberi bonus kepada pekerja dan wang belanja kepada anak-anaknya.
Tiga lagi mangsa, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin yang menemani Sosilawati pada ketika kejadian dan menerima nasib malang itu disifatkan sebagai `berada di tempat dan masa yang salah’.
Menurut Hakim Akhtar, berdasarkan maklumat diberikan khususnya oleh Thilaiyalagan serta Kathavarayan, pihak polis menemui kesan bakar di belakang ladang itu dan apabila menggali kawasan terbakar itu, polis menemui beberapa tulang dan beberapa daripada tulang itu kemudiannya disahkan oleh pakar sebagai tulang manusia yang telah rentung, menunjukkan mereka telah dibakar pada darjah suhu amat tinggi.
Salah seorang saksi pendakwaan yang juga bekas pembantu rumah Pathmanabhan dan tinggal di ladang berkenaan, Siti Hamidah ketika memberi keterangan menyatakan ada terdengar jeritan wanita pada 30 Ogos 2010, di ladang itu serta melihat api menjulang setinggi pokok kelapa sawit.
Katanya siasatan lanjut di ladang itu menemui satu kawasan dengan mempunyai kesan darah dan kayu pemukul kriket dengan kesan darah dan analisis ke atas darah itu oleh ahli kimia menunjukkan darah itu ada yang sepadan dengan Sosilawati dan rakan-rakannya.
Keterangan juga menunjukkan asid deoksiribonukleik (DNA) pegawai bank, Noorhisham dijumpai pada dinding dan kayu kriket manakala profil DNA Kamaruddin Ahmad Kamil pula dijumpai pada kepingan zink yang digunakan sebagai alas tempat mayat mangsa dibakar.
Perbicaraan kes itu yang bermula pada 4 Julai 2011 membabitkan 108 orang saksi pihak pendakwaan dan 30 saksi pihak pembelaan dipanggil memberikan keterangan serta membabitkan 742 eksibit, dengan nota prosiding mencecah hampir 6,000 muka surat.