Sejuta benih udang galah, ikan dilepaskan ke perairan Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Sejuta benih udang galah, ikan dilepaskan ke perairan Negeri Sembilan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi , Datuk Mohd Faizal Ramli melepaskan benih udang galah sambil ditemani Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Kasim Tawe (dua, kanan) sempena Program Pelepasan Benih Udang Galah ke Sungai Linggi dan Inventori Perikanan Darat di Pengkalan Kempas, di sini, hari ini. FOTO/ MOHD SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Jabatan Perikanan Negeri Sembilan melepaskan hampir sejuta benih udang galah dan pelbagai spesies ikan bernilai RM160, 900 di 26 perairan umum di seluruh negeri ini.

Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Kasim Tawe berkata, dari jumlah tersebut hampir separuh daripadanya merupakan benih udang galah yang dilepaskan di sungai berpotensi termasuk Sungai Linggi dengan pelepasan terbaharu sebanyak 150,000 ekor benih udang galah.

Menurutnya, Sungai Linggi merupakan lokasi popular dalam kalangan pemancing rekreasi serta nelayan bagi menangkap udang galah di negeri ini selain Sungai Timun di Rembau berdasarkan rekod jabatan iaitu sekitar 20 hingga 40 kilogram hasil tangkapan boleh diperoleh sehari.

“Secara puratanya, para nelayan berpeluang memperoleh sekitar 60 kilogram hasil udang galah dalam tempoh sebulan dengan harga pasaran sekitar RM85 sekilogram. Malah, usaha kita melepaskan benih udang galah di sini juga untuk memastikan kesinambungan kewujudan stok hasil sungai di sini.

“Program pelepasan ikan ini juga sebagai daya tarikan kepada pemancing-pemancing sungai dari luar,” katanya sempena Program Pelepasan Benih Udang Galah ke Sungai Linggi dan Inventori Perikanan Darat di Pengkalan Kempas, di sini, hari ini.

Kasim berkata, pihaknya menyasarkan keseluruhan sebanyak 1.2 juta benih udang galah serta ikan pelbagai spesies dilepaskan sehingga hujung tahun dan sudah pun mengenal pasti 16 lokasi baharu.

Dalam pada itu menurutnya, pertambahan stok ikan dan udang galah di perairan umum merupakan program tahunan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan sebagai satu langkah memastikan kesinambungan kewujudan stok ikan di perairan umum sentiasa ada.

Menurutnya, pihaknya berharap agar aktiviti seperti ini dapat memberi kesedaran kepada orang awam terhadap kepentingan memulihara ekosistem perikanan darat untuk generasi akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya