ALOR SETAR: Pendakwah terkenal, Syeikh Muhd. Zainul Asri Mohd. Romli tampil menjelaskan kontroversi berhubung majlis meraikan hari lahirnya yang didakwa mengandungi alunan qasidah memujinya secara keterlaluan.
Syeikh Muhd. Zainul Asri berkata, video tular itu adalah video lama ketika sambutan hari lahirnya pada 2020 dan tindakan anak muridnya mengalunkan qasidah memuji namanya itu juga adalah di luar pengetahuan dan bukan permintaannya.
“Video empat tahun lepas iaitu 2020. Hari itu sanah helwah (hari lahir), saya pun bukan mahu sangat orang sambut-sambut. Oleh kerana anak murid nak buat, kita nak kata tidak rasa kasihan depa nak buat kejutan.
“Tiba-tiba Iqbal (ketua qasidah) sebut Ya Sheikhana. Saya sebenarnya tak cakna sangat kalimat itu tengok-tengok Ya Sheikhana Zainul Asri. Lepas itu dalam lagu pula, bukan saya suruh pun. Tak akan saya nak nak suruh pula, itu bukan cara saya,” jelasnya dalam satu hantaran video semalam.
Beliau mengulas tentang penularan video memaparkan sekumpulan pelajar berqasidah memujanya dalam satu majlis di media sosial sejak beberapa hari lepas.
Terdahulu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut mengeluarkan kenyataan meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyediakan laporan serta membawa perkara itu kepada pihak terlibat.
Menjelaskan lanjut, kata pendakwah itu, beliau kesal dengan tindakan pihak terlibat yang menularkan video tersebut sehingga mengundang fitnah ke atas dirinya.
“Kawan itu (pelaku) kalau saya tak maaf jenuh dia. Buat fitnah ini nabi sudah bersabda, fitnah itu tidur dan Allah melaknat sesiapa yang cuba menggerakkannya.
“Yang tiada ilmu mungkin depa nak kaitkan dengan GISBH atau nak bunuh karakter. Itu bukan akhlak Islam. Yang ulas lagi teruk melampau-lampau pula. Saya bukan wali pun ulama pun bukan, tambahlah wali. Hujan pun basah,” katanya.