SEREMBAN: Produk sedia untuk dimakan jenama Sambarindu keluaran syarikat FAR Cekap Enterprise kini mengintai potensi pasaran di luar negara khususnya negara sekitar Asia Tenggara bagi mencapai pertumbuhan jualan lebih tinggi.
Pengasas yang juga pengurus syarikat, Mohd. Yusoff Fauzi Ahmad Iabib berkata, beliau yakin hasrat tersebut boleh dicapai menerusi perancangan jangka panjang sambil tumpuan kini diberikan untuk memperkukuhkan kehadiran produk di pasaran tempatan.
“Jenama Sambarindu kini berada di landasan tepat bagi pasaran tempatan. Pada tahap ini syarikat sedang menuju untuk mengeluarkan produk Ready To Eat (RTE) melalui teknologi retort.
“Kami telah bermula dengan produk RTE Daging Masak Hitam dan ada beberapa jenis produk lagi akan menyusul,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Mohd. Yusoff Fauzi berkata, selain produk Daging Masak Hitam, pihaknya turut mengeluarkan produk Sambal Hitam dan Sambal Nasi Lemak dengan produk di di bawah jenama Sambarindu itu dikilangkan di premis di Jalan Kampung Keretapi, Ayer Hitam, Jempol, Negeri Sembilan.
“Buat masa ini syarikat mampu menjual lebih kurang 15,000 botol sebulan dengan harga jualan sebanyak RM15 sebotol bagi Sambal Nasi Lemak dan RM12 untuk satu pek produk Daging Masak Hitam.
“Syarikat menyasarkan jualan terkumpul sebanyak RM1.6 juta melalui Sambarindu akan mampu tercapai pada hujung tahun ini,” katanya lagi.
Katanya lagi, sejak berada di pasaran pada 2018, diakui perkembangan jenama Sambarindu agak perlahan ekoran pemasaran yang kurang agresif namun tahun demi tahun ia makin dikenali khususnya di platform jualan dalam talian.
“Pasaran utama kami ketika ini adalah menerusi pengedaran di Kedai Mesra Petronas selain platform jualan dalam talian,” jelas Mohd. Yusoff Fauzi lagi.
Menuju ke hadapan, katanya, syarikat juga membantu usahawan lain untuk mengeluarkan produk sambal dan produk berkualiti lain sebagaimana jenama Sambarindu.
“Sekarang kami bersedia menerima tempahan dengan menawarkan perkhidmatan pengilang peralatan asal (OEM) kepada syarikat lain yang berminat dan mereka akan mendapat bimbingan serta latihan berkualiti,” katanya.-UTUSAN.