Rumah sewa jadi tempat simpan dadah - Utusan Malaysia

Rumah sewa jadi tempat simpan dadah

BAHRIN Mohd. Noh (kiri) menunjukkan dadah yang ditemui dalam sebuah rumah disewa lima individu di Kampung Chokro, Simpang Renggam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Seorang lelaki menyewa sebuah rumah di Kampung Chokro, Simpang Renggam, dekat sini hampir dua tahun lalu dengan menjadikan kediaman itu untuk menyimpan bekalan dadah.

Namun, kegiatan itu terbongkar dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang pada pukul 2.30 petang, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, dalam serbuan itu, seramai empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 18 hingga 45 tahun termasuk penyewa rumah ditahan.

“Kita menemui satu peket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 5.01 gram dan satu bungkusan plastik wanna hijau bertulisan ‘Guanyinwang Chinese Tea’, juga disyaki berisi dadah jenis syabu dengan anggaran 1,047 gram. 

“Turut dirampas sembilan peket plastik lutsinar disyaki berisi dadah jenis syabu anggaran berat 755.50 gram dan satu peket plastik disyaki berisi dadah jenis heroin anggaran berat 106.50 gram,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Kluang, di sini hari ini. 

Bahrin memberitahu, pihaknya turut menemui 80 pembalut aluminum warna merah serta perak disyaki berisi pil Eramin 5 (800 biji) anggaran berat 251.50 gram dan keseluruhan nilai dadah dianggarkan berjumlah RM74, 822.50 yang dijangka boleh digunakan sehingga 9,000 penagih. 

Hasil semakan, tiga daripada lima suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah serta hasil saringan ujian air kencing yang dilakukan mendapati kelima-lima tangkapan positif jenis dadah methamphetamine dan morfin.

Semua suspek kini dikenakan tahanan reman selama tujuh hari sehingga 17 Oktober ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta disebat tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya