KOTA TINGGI: Seorang pekebun di Zon Pengeluaran Makanan (ZPM) Sedili Kecil, dekat sini buntu apabila kebun kelapa miliknya diceroboh gajah liar sejak seminggu lalu.
Ramlai Ranyan, 63, yang mengusahakan tanaman kelapa mengalami kerugian lebih RM250,000 selepas pokok yang baru mengeluarkan hasil sejak setahun lalu dirosakkan kumpulan mamalia itu.
Katanya, lebih 400 daripada 2,000 pokok kelapa yang ditanam dicabut dan dirosakkan lebih daripada lima ekor gajah.
“Setiap hari puluhan pokok dirosakkan, dicabut. Bermula pukul 6 petang gajah sudah mula masuk ke kebun dan akan keluar pada waktu subuh. Jika dahulu kumpulan gajah ini hanya berjalan dan tidak rosakkan tanaman, namun sejak akhir-akhir ini tanaman kami banyak yang dirosakkan.
“Sejak 21 Oktober lalu, setiap hari pasti ada sahaja pokok yang menjadi mangsa. Jika berterusan begini tidak mustahil habis semua pokok kelapa kami akan musnah,” katanya ketika ditemui di kebunnya, di sini.
Ramlai telah membuat laporan menerusi sistem e-Aduan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Seorang lagi pekebun, Nazarudin Jamil, 25, juga memberitahu, kebunnya yang terletak bersebelahan turut terjejas apabila kira-kira 300 pokok kelapa yang dijangka mula mengeluarkan hasil tahun depan musnah.
“Bila lihat keadaan kebun dengan pokok kelapa yang dicabut dan dirosakkan, hilang semangat kerana bukan mudah untuk jaga dari kecil hingga sudah hendak keluarkan hasil, tambahan pula dengan kos baja dan sebagainya yang bukan murah. Serangan gajah ini bermula dari kebun saya pada 18 Oktober sebelum bergerak ke kebun-kebun yang lain,” katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pengerang, Mohamad Azhar Din berkata, pihaknya telah menghantar surat kepada Perhilitan bagi memaklumkan masalah yang dialami pekebun.
“Kami mohon pihak berwajib agar mengambil tindakan segera bagi mengelakkan serangan dan kerugian berterusan, khususnya melibatkan projek usahawan,” katanya. – UTUSAN