RM35.29 juta naik taraf jalan kampung - Utusan Malaysia

RM35.29 juta naik taraf jalan kampung

ZAHARI SARIP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Sebanyak RM35.29 juta diperuntukkan tahun ini bagi melaksanakan kerja-kerja menaik taraf jalan kampung di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, kerja tersebut melibatkan projek Jalan Perhubungan Desa (JPD), Jalan Ladang atau Pertanian serta Jalan Kampung Orang Asli.

“JPD menyaksikan sebanyak 69 projek telah diluluskan dengan peruntukan berjumlah RM7.49 juta, manakala Jalan Ladang atau Jalan Pertanian melibatkan peruntukan RM26.6 juta bagi melaksanakan 229 projek.

“Selain itu, Jalan Kampung Orang Asli pula melibatkan sebanyak 12 projek dengan nilai RM1.2 juta. Projek-projek ini melibatkan kesemua 10 daerah di Johor,” katanya menjawab soalan Mohd. Yusla Ismail (BN-Senggarang) tentang jumlah peruntukan bagi menyelenggara jalan-jalan kampung di seluruh negeri dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh memaklumkan, semua projek tebatan banjir (RTB) yang telah diluluskan akan disiapkan lebih cepat, iaitu pada 2027 berbanding jadual asal pada 2029.

Katanya, enam projek RTB jangka panjang sedang dalam pelaksanaan, manakala tiga projek RTB jangka pendek juga sedang dilaksanakan dengan satu lagi dalam tahap pra pelaksanaan.

“Selain itu, tahun ini kerajaan negeri telah mengangkat permohonan 15 projek RTB berjumlah RM 1.9 bilion dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Kerajaan negeri juga telah mengeluarkan peruntukan sebanyak RM14 juta untuk pelaksanaan program RTB negeri, iaitu Lembangan Sungai dan Saliran Mesra Alam bagi mengurangkan risiko banjir,” katanya menjawab soalan Hasrunizah Hassan (BN-Pulai Sebatang) berkaitan projek RTB bagi mengelakkan kejadian banjir di negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya