BERLIN: Polis Jerman berjaya menumpaskan kegiatan jenayah pengedaran dadah melibatkan sebuah restoran pizza di bandar barat Dusseldorf.
Pengarah jenayah, Michael Graf von Moltke mendedahkan, pelanggan yang memesan item nombor 40 di restoran berkenaan bukan sahaja mendapat pizza, bahkan dadah jenis kokain.
“Itu adalah salah satu pizza yang paling laris di restoran tersebut,” kata Moltke.
Beliau berkata, polis pada awalnya menerima maklumat yang didakwa mencurigakan daripada pemeriksa makanan pada Mac lalu.
Apabila pegawai skuad dadah mula memantau restoran itu, mereka akhirnya menemukan punca pizza nombor 40 begitu popular dalam kalangan pelanggan.
“Ketika polis menyerbu apartmen pengurus restoran, lelaki berusia 36 tahun itu bertindak melemparkan beg dadah ke luar tingkap, namun jatuh terus ke tangan pegawai polis,” kata polis Dusseldorf.
Jumlah yang dirampas termasuk 1.6 kilogram (kg) kokain, 400 gram ganja dan wang tunai AS$290,378 (RM1.25 juta).
Polis berkata, pengurus restoran terbabit dibebaskan selepas beberapa hari ditahan, dan membuka semula perniagaannya serta meneruskan penjualan pizza nombor 40 yang mengandungi pesanan kokain.
Ia memberi peluang kepada penyiasat menyelidik rantaian bekalan dan selepas beberapa minggu, 150 pegawai berjaya menumpaskan sindiket dadah di barat Jerman serta menangkap tiga individu termasuk dalang utama berusia 22 tahun.
Semasa serbuan, mereka menemukan dua ladang ganja di Monchengladbach dan Solingen, masing-masing berjumlah 300 serta 60 pokok.
Pengurus restoran pizza juga ditangkap ketika cuba melarikan diri ke luar negara dan kekal dalam tahanan.
Menurut The Associated Press, nama suspek tidak didedahkan selaras dengan peraturan privasi Jerman.