KAJANG : Seorang remaja perempuan ditemukan maut dalam kebakaran sebuah rumah di Saujana Impian, di sini hari ini.
Mayat remaja berusia 17 tahun itu ditemukan rentung di dalam sebuah bilik di tingkat dua kediaman terbabit.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, satu panggilan kecemasan diterima pihaknya pada pukul 4.20 petang.
Kata beliau, sepasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang dikejarkan ke lokasi dengan dibantu BBP Bangi dan BBP Seri Kembangan.
“Kebakaran kira-kira 60 peratus melibatkan sebuah rumah teres dua tingkat.
“Sewaktu kejadian mangsa dipercayai sendirian di rumah,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Tambah beliau, api telah dipadam sepenuhnya dan unit anjing pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Agensi lain terlibat ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB),” jelasnya.